fbpx

Payung Teduh, Pusakata bergabung di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAYUNG Teduh dan Pusakata yang menggunakan nama Parade Hujan akan menghiburkan peminat menerusi konsert Senandung Malam di Zepp KL malam esok.

KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik terkenal Indonesia, Payung Teduh dan Pusakata buat pertama kali bakal bergabung sekali gus beraksi di Malaysia dengan menggunakan nama Parade Hujan menerusi konsert Senandung Malam.

Pusakata atau nama sebenarnya, Mohammad Istiqamah Djamad ketika ditemui Kosmo! Online berkata, kali terakhir Payung Teduh diundang membuat persembahan di Malaysia sekitar 2017 sebelum mereka berpecah.

“Terima kasih Neptunes Presents kerana membuka peluang kepada kami untuk kembali ke sini. Lebih istimewa, kali ini kami tampil kembali sebagai sebuah band namun mengguna pakai nama Parade Hujan sebagai tanda pengenalan.

“Ini merupakan konsert pertama dan rasmi kami sebagai Parade Hujan. Kami sentiasa menantikan peluang untuk ke sini kerana sokongan dan sambutan daripada peminat yang cukup luar biasa,” katanya.

Ketika ditanya tentang keyakinan untuk kembali bergerak bersama rakan seperjuangan lamanya, Pusakata berkata, dia yakin perdamaian adalah jalan terbaik seiring dengan usia.

“Saya masih ingat, pernah bercakap mahu bermain muzik dengan mereka sampai tua.

“Bila diajukan hal ini, ternyata mereka juga memberi kesempatan untuk saya kembali memperjuangkan muzik bersama anggota band yang lain.

“Mereka terbuka dengan perkara ini. Harus saya akui, jujurnya gabungan semula ini adalah demi ‘show bussines’. Saya percaya pada soal jodoh dan rezeki. Mungkin ini petanda baik buat kami sebagai Parade Hujan,” katanya.

Pusakata berkata demikian ketika ditemui di Swee Lee, Pusat Membeli Belah Lot 10, di sini hari ini.

Turut hadir ialah kumpulan Efek Rumah Kaca dan penganjur Neptunes Presents, Nabila Huda.

Bagi Payung Teduh, mereka tidak punya alasan untuk menolak tawaran bermain pada konsert tersebut.

Bagi mereka, bukan hanya soal berapa ramai peminat yang hadir kelak, tetapi lebih kepada untuk menyaksikan Payung Teduh dan Efek Rumah Kaca menerima apresiasi yang baik daripada penggemar di Malaysia.

Payung Teduh sebelum ini popular dengan lagu seperti Akad dan Menuju Senja.

Konsert Senandung Malam di Zepp KL pada malam esok berlangsung bermula pukul 8.30 malam.

Tiket konsert Senandung Malam yang dijual pada harga RM180 dan RM220, manakala RM650 untuk sesi eksklusif ramah mesra bagaimanapun telah habis terjual. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI