fbpx

Ramli Sarip ‘kuih lama’ yang tiada lelah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMLI SARIP

SELAMA 50 tahun figura yang memiliki keunikan suara garau itu menghambakan diri sebagai anak seni bernama penyanyi.

Bermula dengan menganggotai kumpulan legenda Sweet Charity pada tahun 1969, pemilik nama pentas, Ramli Sarip masih tetap membuktikan kemampuan dengan lontaran vokal hebatnya walaupun kini telah berusia 70 tahun.

Sesuai dengan statusnya sebagai penyanyi legenda negara, Ramli belum mahu meletakkan titik noktah terhadap perjalanan kariernya dan mahu terus melangkah sebagai penyanyi selagi ada kudrat pada dirinya.

Terbaharu, penyanyi kelahiran Singapura itu mengubati kerinduan peminatnya di Sarawak apabila menjayakan konsert jelajah Ramli Sarip Cinta Di Sebalik Musim.

PENYANYI berusia
70 tahun ini bersyukur kerana persembahannya turut mendapat perhatian daripada peminat generasi muda.

Riuh

Bertempat di Dewan Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim, Mu’adzam Shah, Kuching, Sarawak, Ramli memukau lebih daripada 1,000 orang penonton dengan mendendangkan seleksi 23 buah lagunya sebagai ‘penawar’ terhadap peminat istimewanya dari tanah Borneo.

Belum pun penyanyi yang digelar Papa Rock itu muncul di atas pentas, suasana dewan sudah cukup riuh dengan sorakan peminat yang tidak sabar menantikan ‘magis’ penghibur kesayangan mereka.

Kehangatan suasana semakin terbayang sebaik sahaja kelibat Ramli muncul di atas pentas dengan mendendangkan lagunya berjudul Tersendiri diikuti Sejuta Wajah dan

Panah Beracun sebagai pembuka tirai meraikan peminatnya yang semakin ‘menggila’.

“Alhamdulillah. Dewan hari ini penuh! Terima kasih kepada warga Sarawak atas kesudian menonton konsert saya pada hari ini.

“Pada usia 70 tahun, saya masih ada peminat yang ternanti-nantikan persembahan saya,” katanya.

Satu yang menariknya tentang Ramli, walaupun sudah meniti usia senja, staminanya ketika membuat persembahan tidak pernah lelah.

Selama dua jam beraksi menghiburkan penonton, energinya tetap sama. Malah, sesekali penyanyi itu gemar mengusik penonton dengan lelucon spontan sehingga mencuit hati peminatnya.

TANPA lelah, Ramli Sarip menjayakan persembahan konsertnya dengan mendendangkan lebih 20 buah lagu untuk peminat.

Anak muda

Beberapa buah lagu Ramli sememangnya dinanti-nantikan penonton pada malam tersebut untuk menyanyi bersama -sama.

Antaranya Kamelia, Teratai, Istilah Bercinta dan Nyanyian Serambi. Ketika lagu-lagu ini didendangkan, peminat yang menyaksikannya turut sama bernyanyi. Seluruh dewan bergema, menambahkan lagi suasana malam yang kian larut.

Penonton yang menyaksikan persembahan Ramli bukan sahaja dalam kalangan mereka yang seusia, malah anak-anak muda juga tidak melepaskan peluang menyaksikan aura seorang legenda.

Ujar Ramli, dia tersentuh, terkesan dan berterima kasih kepada penonton termasuk anak muda kerana mengikuti perjalanan seninya walaupun berada dalam generasi berbeza.

Malah, tidak keterlaluan Ramli sendiri menyifatkan dirinya sebagai kuih lama (tradisional) yang masih enak dan dicari penggemarnya sehingga ke hari ini.

RAMLI SARIP mengubati kerinduan lebih daripada 1,000 peminatnya di Kuching, Sarawak menerusi konsert jelajah Ramli Sarip Cinta Di Sebalik Musim.

“Saya umpama kuih lama yang masih dicari sehingga ke hari ini.

“Kalau kuih itu sedap, saya akan cari kuih itu. Orang lain juga akan cari makanan yang sedap.

“Sama seperti nyanyian dan persembahan. Kalau bagus dan kena dengan sentuhan, persembahan itu dikira bonus. Penonton faham dan suka, secara tidak langsung mereka sama-sama membina irama lagu Melayu Nusantara,” katanya.

Jam menunjukkan waktu hampir pukul 12 malam. Penghujung persembahan konsert jelajah Ramli Sarip Cinta Di Sebalik Musim, penyanyi berwajah garang tapi mesra itu menutup persembahan dengan mendendangkan lagu Doa Buat Kekasih.

Ramli tiada tandingan. Ketika usia yang merangkak senja, beliau tidak pernah lokek bercerita dalam lantunan melodi dan lirik penuh makna. Moga terus sihat.

Satu yang menariknya tentang Ramli, walaupun sudah meniti usia senja, staminanya ketika membuat persembahan tidak pernah lelah.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI