fbpx

Cuepacs mahu kerajaan kekalkan inisiatif penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) mahu kerajaan memastikan semua inisiatif untuk penjawat awam yang telah diumumkan oleh kerajaan terdahulu melalui Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-18 dilaksanakan mengikut waktu yang ditetapkan.

Pengerusinya, Datuk Adnan Mat berkata, beliau mengambil maklum bahawa kerajaan akan membentangkan mini belanjawan pada 19 Disember ini bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya gaji penjawat awam.

Bagaimanapun katanya, inisiatif tersebut adalah antara yang telah dijanjikan oleh kerajaan selaku majikan kepada penjawat awam dan adalah tidak wajar ia ditarik semula hanya kerana perubahan kerajaan.

“Antara inisiatif tersebut ialah Kenaikan Gaji Tambahan (KGT) Khas RM100 bermula Januari tahun hadapan.

“Selain itu, bantuan khas kewangan RM700 pada Januari depan, bantuan khas kewangan untuk pesara sebanyak RM350 serta bantuan khas aidilfitri sebanyak RM600 bermula Mac 2023,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, mahu atau tidak ia mesti dilaksanakan mengikut tarikh yang telah diumumkan sebelum ini.

“Cuepacs tidak mahu perkara yang sama terjadi pada 2018 apabila inisiatif yang dijanjikan oleh kerajaan tidak ditunaikan apabila berlaku peralihan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Antara inisiatif tersebut yang hanya tinggal harapan sahaja ialah kenaikan Gaji bersamaan 1 KGT secara Khas kepada semua Penjawat Awam berkuatkuasa 1 Julai 2018, pemendekkan kenaikan pangkat Time Based kali kedua dikurangkan dari 13 tahun kepada 10 tahun berkuatkuasa 1 Januari 2018,” katanya.

Selain itu, penambahan Gred DG 56 bagi guru-guru Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) turut tidak ditunaikan.

“Perkara itu sepatutnya tidak wajar berlaku kerana selaku majikan, kerajaan tidak boleh menarik semula inisiatif tersebut setelah segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab sebagai jentera pentadbiran negara.

“Istilah pisang berbuah dua kali seharusnya tidak ada dalam kamus penjawat awam kerana kekecewaan yang berlaku pada 2018 masih lagi berbekas dan disebut-sebut sehingga kini,” ujarnya.

Justeru itu katanya pihaknya berharap pertimbangan dan kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus mengekalkan segala kemudahan yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Dalam masa yang sama Cuepacs yakin semua Ahli Yang Berhormat Parlimen memberi sokongan kepada Perdana Menteri semasa sesi pembentangan belanjawan mini pada 19 Disember ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI