Soalan: Apakah hukum membasuh dengan mesin basuh? Ini kerana adakalanya kita khuatir jika masih terdapat najis yang terlekat pada mesin basuh akibat basuhan pakaian yang bernajis sebelum ini.
Jawapan:
Sesuatu pakaian bersih yang dimasukkan oleh seseorang ke dalam mesin basuh tidak dikira bernajis melainkan terbukti kenajisannya.
Pakaian dicuci dengan menggunakan air bersih dan bahan-bahan yang boleh membersihkannya.
Setelah sesuatu pakaian itu dicuci dengan satu proses penyucian sehingga tiada lagi kesan najis seperti bau, rasa dan warna, maka dikira pakaian itu bersih.
Tidak diperintahkan oleh syarak untuk kita membebani diri meneliti sesuatu proses pembersihan jika sudah terbukti cucian yang berlaku menghilangkan segala kesan najis.
Jika terbukti masih terdapat kesan najis selepas proses pembersihan menggunakan mesin basuh, maka pakaian terbabit dikira masih bernajis. Namun, jika kesan itu terlalu sukar untuk dihilangkan dan hanya sedikit seperti kesan warna darah atau warna najis yang tidak dapat dihilangkan, maka dimaafkan.
Bagi mengelakkan kesan najis di dalam penggunaan mesin basuh, maka digalakkan seseorang itu memastikan pakaian yang dimasukkan dihilangkan najis terlebih dahulu.
Ia bagi mengelakkan pakaian lain terkena najis tersebut dan memberi kesan kepada bau, warna dan rasa.














