fbpx

TNB rekod prestasi baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaporkan prestasi kewangan yang baik bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2022 (9MFY2022), disokong permintaan elektrik lebih tinggi, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Hasil tanpa pemulihan kos daripada Pelepasan Kos tidak Seimbang (ICPT) meningkat 6.6 peratus kepada RM37.95 bilion daripada RM35.59 bilion, disumbangkan oleh peningkatan dalam jualan elektrik dalam semua sektor.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata kekurangan pemulihan ICPT bagi tempoh 9MFY2022 telah melonjak kepada RM15.92 bilion daripada RM1.3 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas berikutan persekitaran harga bahan api semasa yang tinggi.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dilaporkan lebih tinggi pada RM16.31 bilion berbanding RM14.39 bilion dalam tempoh yang sama tahun 2021.

Margin EBITDA (tanpa pemulihan kos ICPT) meningkat kepada 43 peratus daripada 40.4 peratus tahun lepas, mencerminkan peningkatan dalam prestasi operasi TNB.

Keuntungan selepas cukai (PAT) pula susut 4.3 peratus kepada RM2.75 bilion daripada RM2.87 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, disumbangkan terutamanya oleh kerugian tukaran mata wang asing lebih tinggi, kos kewangan dan perbelanjaan cukai, termasuk Cukai Makmur.

Bagi tempoh pemulihan ICPT dari Julai hingga Disember 2022, kerajaan telah bersetuju untuk membayar balik TNB kos ICPT berjumlah RM5.8 bilion.

Baharin Din

“Kami berbesar hati untuk berkongsi bahawa TNB telah menerima sejumlah RM4.8 bilion pemulihan kos ICPT sehingga kini bagi tuntutan Julai hingga November 2022 daripada kerajaan,” kata Baharin dalam satu kenyataan.

Baharin berkata, TNB kini sedang mempercepatkan usahanya dengan memberhentikan loji arang batu terpilih lebih awal daripada yang dirancang dan memperkasakan semula loji janakuasa fosil dengan teknologi hijau baharu.

“Ogos lalu, kami mengumumkan hasrat untuk bekerjasama dengan Petronas dalam kajian kebolehlaksanaan bersama dalam bidang hidrogen dan Carbon Capture dengan tujuan untuk membuka kunci nilai komersial sekurang-kurangnya RM10 bilion sehingga 2035.”

“Selain itu, kami juga telah menerima Surat Hasrat daripada Kerajaan untuk pembangunan Loji Janakuasa Kitaran Gabungan 2,100 MW di Kapar, Selangor.

“Loji janakuasa yang menggunakan gas baharu akan dibangunkan dengan teknologi hidrogen sebagai bahan api ganti kepada gas pada masa depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI