fbpx

Lain diharap, lain pula yang dapat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas media berkumpul di hadapan Istana Negara semalam.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah berakhir dengan hung Parliament atau Parlimen tergantung kerana tiada parti yang mendapat majoriti undi. Pada hari pengundian, seramai 15.4 juta daripada 20.8 juta pengundi yang layak telah melaksanakan tanggungjawab untuk memilih calon.

Proses demokrasi pada PRU15 ini berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan besar berbanding PRU sebelum ini yang dicemari dengan isu pengundi hantu selain dakwaan tidak dibenarkan keluar membuang undi.

PRU15 disifatkan oleh pemerhati politik sebagai pilihan raya yang paling sukar diramal. Malah sehingga menjelangnya hari mengundi 19 November lalu, parti mana yang dijangka menjadi pilihan bagi membentuk kerajaan baharu dilihat masih kabur.

Ini mungkin disebabkan pentadbiran campuran sebelum ini. Malaysia diterajui oleh tiga Perdana Menteri daripada parti berbeza sejak 2018. Barisan Kabinet juga adalah parti campuran.

Pengundi PRU baru-baru ini sangat beruntung. Bermula dengan pengumuman gaji awal pada 17 November untuk kakitangan awam, cuti pada Jumaat dan Sabtu serta menikmati tol percuma. Itu tidak termasuk cuti lain yang dijanjikan parti politik tertentu jika menang. Maka berduyun-duyun perantau pulang ke kampung. Jalan raya sesak, tiket bas ekspres juga ‘licin’ diborong.

Ada yang menyamakan suasana meriah di atas jalan balik mengundi baru-baru ini seperti pulang beraya terutama perjalanan ke Pantai Timur.

Namun semangat berkobar-kobar para pengundi meredah kesesakan beratur panjang bagaikan ‘direntap’ apabila tiada parti yang mendapat majoriti pada PRU15 seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Situasi itu bukan sahaja berlaku di peringkat Parlimen, malah di Dewan Undangan Negeri di Pahang dan Perak. Mujur keadaan di Perak tidak berlarutan apabila Pakatan Harapan (PH) bergabung dengan Barisan Nasional (BN).

Bukan 24 jam pembentukan kerajaan baharu tertangguh, malah setakat tengah hari semalam masih tiada sebarang keputusan dicapai oleh parti-parti politik untuk membentuk gabungan bagi mendapat majoriti.

Sudahlah hasrat untuk melihat parti atau calon pilihan berkuasa tidak kesampaian, pengundi kena akur mereka terpaksa bergegas pulang ke ibu kota kerana tiada cuti.

Kesudahannya ada yang terkandas di jalan raya kerana kesesakan, manakala anak-anak pula terpaksa ponteng sekolah semalam.

Sebagai rakyat, kita sudah menunaikan tanggungjawab dan sekarang ini adalah proses pembentukan kerajaan menerusi gabungan parti-parti politik seperti yang dipersetujui.

Proses serahan nama wakil rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 kepada Istana Negara yang sepatutnya dilakukan sebelum 2 petang Isnin, namun dilanjutkan sehari lagi.

Dalam nada lemah lembut Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta semua supaya bertenang dan bersabar seolah-olah memahami kegusaran rakyat dan sudah pasti kita berharap agar ia tidak berlarutan.

Walau apa pun yang berlaku, siapa pemimpin dan parti mana yang dapat membentuk kerajaan, PRU15 pasti akan dikenang oleh kita semua disebabkan cerita-cerita di atas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI