fbpx

MAIWP santuni asnaf, melalui Bantuan Zakat Khas MAIWP Insani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Daud Bakar (bawah, tengah) bersama Ahli Jawatankuasa Tertinggi MAIWP dalam sidang akhbar Pembentangan Bajet MAIWP Tahun 2023.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyantuni semua asnaf di Wilayah Persekutuan menerusi Bantuan Zakat Khas MAIWP Insani sehingga hujung tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkata, bantuan tersebut akan melibatkan 73,895 penerima dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM50 juta.

“Seramai 30,000 orang penerima Bantuan Kewangan Bulanan akan menerima bantuan zakat khas RM1,000 seorang di mana RM250 telah dibayar pada Ogos lepas, manakala baki sebanyak RM750 akan dibayar pada Disember ini.

“Bantuan Am Persekolahan sebanyak RM200 juga akan disalurkan kepada 36,750 orang pelajar manakala 6,600 penerima akan mendapat zakat khas Bantuan Am Pelajaran Institut Pengajian Tinggi sebanyak RM500,” katanya dalam satu sidang akhbar disini, hari ini.

Tambah Daud lagi, semua bantuan akan disalurkan secara berperingkat kepada penerima yang ada dalam pangkalan data MAIWP dan menjangka seramai 2,000 asnaf akan dikeluarkan daripada garis kemiskinan sehingga penghujung tahun ini.

Sementara itu, Daud turut berkata, 530 institusi termasuklah sekolah rendah, sekolah menengah, KAFA, Tahfiz di seluruh Wilayah Persekutuan akan menerima RM30,000, bagi membiayai pelaksanaan aktiviti pelajar asnaf dan pembaikan infrastruktur.

Selain itu, 15 hospital turut disalurkan Bantuan Khas Tabung Kebajikan Hospital dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM950 ribu untuk menampung kos-kos rawatan asnaf.

Bermula Januari hingga Oktober 2022 sahaja, MAIWP telah mengagihkan hampir RM700 juta dana zakat menerusi bantuan secara langsung dan tidak langsung kepada asnaf yang memerlukan.

“Kemampuan untuk menyediakan peruntukan yang besar berjaya dilaksanakan oleh MAIWP hasil daripada komitmen pembayar zakat di dalam dan luar Wilayah Persekutuan.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua pembayar zakat, kerana dengan zakat anda, MAIWP dapat melaksanakan amanah dengan membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya. – KOSMO ONLINE!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI