fbpx
Reduan ketika dibawa ke Mahkmah Majistret Kajang hari ini.

Mahkamah: Suami tular pukul isteri dijel 3 bulan, denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG – “Seorang isteri adalah pendamping bukannya ‘punching bag’. Harap hukuman dapat memberi pengajaran kepada kamu, jangan buat lagi pada anak, isteri dan pada sesiapa sekali pun”.

Itu nasihat yang diberikan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz selepas menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,000 terhadap seorang suami yang tular memukul isterinya di sebuah rumah minggu lalu.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 19 November lalu. Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda tersebut dia boleh dipenjara selama sebulan.

Terdahulu tertuduh Reduan Mahamood, 58, yang merupakan ahli perniagaan itu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya.

Mengikut pertuduhan, Reduan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Adrina Mohd. Ariff, 45, dengan cara memukul dan menendang mangsa menggunakan tangan dan kaki.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Batu 9, Cheras di sini pukul 5.13 petang pada 14 November lalu (2022) yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam Mohd. Shafiq Ahmed Bazari yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan pengakuan salah telah menjimatkan masa mahkamah.

“Tertuduh yang juga menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi merupakan penanggung utama keluarga selain telah insaf dengan kesalahan yang dilakukan,” kata peguam itu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya sebagai pengajaran agar tertuduh lebih bijak dalam mengambil sebarang tindakan pada masa akan datang.

Tular video lelaki pijak dan pukul isteri di media sosial baru-baru ini.

Kosmo! Online 19 November lalu melaporkan seorang lelaki yang tular pijak dan pukul isteri di hadapan kanak-kanak perempuan akhirnya berjaya ditahan pihak polis di kawasan Setapak.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, tangkapan itu dibuat selepas
Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang telah menerima satu laporan berkenaan kes keganasan rumah tangga.

Menurut Mohd. Zaid pengadu yang juga mangsa berusia 45 tahun memaklumkan telah dipukul menggunakan tangan dan kaki menyebabkannya mengalami kecederaan pada tubuh badan.

Sebelum itu, Kosmo! Online melaporkan perbuatan seorang lelaki dipercayai suami tular di media sosial apabila mendera seorang wanita di sebuah rumah.

Tanpa mengetahui di mana lokasi dan tarikh kejadian itu berlaku menyaksikan seorang wanita dan kanak-kanak wanita turut berada di dalam video berkenaan.

Dalam video berdurasi satu minit tujuh saat yang tular di aplikasi Tiktok itu menunjukkan lelaki berambut panjang itu menarik tudung wanita berkenaan sebelum mangsa di heret dan di tendang di bahagian muka serta badan berkali-kali.

Kanak-kanak perempuan itu juga kelihatan menangis sambil menangkat tangan sebagai tanda memohon maaf kepada individu berkenaan.

Melalui kapsyen video berkenaan menyatakan lelaki itu didakwa merupakan bekas suami kepada seorang penyanyi. – KOSMO! ONLINE

POPULAR