fbpx

Hentikan kegilaan ini – IAEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR bertarikh 11 September lalu menunjukkan Loji Janakuasa Nuklear Zaporizhzhia di Enerhodar wilayah Zaporizhzhia Oblast, Ukraine. - AFP

PARIS – Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi kelmarin mengutuk serangan ‘bersasar’ ke atas loji nuklear Zaporizhzhia yang dikawal Russia di Ukraine dan menyeru supaya ‘menghentikan kegilaan ini’.

Kira-kira 12 serangan arti­leri menyasarkan loji jana kuasa nuklear terbesar di Eropah itu, manakala situasi semasa adalah ‘sangat serius’, katanya kepada stesen penyiaran Perancis, BFMTV.

“Saya sungguh marah kerana sesetengah orang menganggap loji tenaga nuklear adalah sasaran tentera yang sah,” ujarnya.

Walaupun tidak menyalahkan Russia atau Ukraine, Grossi berkata: “Siapa pun kamu, hentikan kegilaan ini!

“Orang yang melakukan perkara ini tahu akan sasaran mereka. Serangan ini benar-benar disengajakan, disasarkan,” katanya.

Awal kelmarin, Kyiv dan Moscow saling menyalahkan satu sama lain kerana membedil loji nuklear Zaporizhzhia di selatan Ukraine.

IAEA akan menghantar pasukan pakarnya ke loji itu susulan letupan kuat yang berlaku pada Sabtu lepas dan kelmarin.

“Loji itu berada di medan perang, terdapat aktiviti ketente­raan yang sangat sukar dikenal pasti kerana tentera Russia dan juga tentera Ukraine beroperasi di sana.

“Kerosakan berlaku di beberapa tempat yang agak rumit,” katanya sambil menambah, reaktor nuklear itu sendiri tidak terjejas tetapi serangan mengenai kawasan di mana bahan api baharu dan terpakai disimpan.

“Kami menjangkakan dapat menilai keadaan sebenar awal pagi esok,” tambah Grossi. Bagaimanapun, menurut beliau, pasukan pemeriksa IAEA tidak dapat bergerak menuju ke loji berkenaan kelmarin kerana keadaan terlalu berbahaya.

Russia yang melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada Februari lalu telah menawan kawasan sekitar stesen janakuasa tersebut.

Presiden Russia, Vladimir Putin pula telah merampas rantau berkenaan, bersama-sama empat wilayah Ukraine yang lain.

Moscow dan Kyiv saling melemparkan tuduhan berhubung serangan berulang kali ke atas tapak nuklear tersebut. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI