fbpx

Helsinki mahu bina pagar di sempadan Finland-Russia tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA Pengawal Sempadan meronda di kawasan sempadan antara Finland dan Russia di Imatra pada 18 November lalu. - AFP

HELSINKI – Finland bercadang membelanjakan AS$143 juta (RM651.19 juta) untuk membina pagar di sempadan timur yang dikongsi dengan Russia pada 2023, lapor stesen penyiaran CNN.

“Dalam penilaian Pengawal Sempadan Finland, persekitaran keselamatan yang berubah mewujudkan keperluan untuk membina pagar di sepanjang sempadan sebelah timur.

“Jika Russia mengurangkan kawalan di sempadannya, ia boleh menimbulkan tekanan tambahan kepada Finland untuk mengawal kemasukan haram,” kata pasukan pengawal sempadan negara berkenaan dalam satu kenyataan semalam.

Pagar itu dirancang untuk dibina sejauh 130 hingga 260 kilometer (km) dan akan dilengkapi peralatan pengawasan serta operasi rondaan.

Pembinaan pagar itu dijangka mengambil masa tiga hingga empat tahun, manakala ketahanannya adalah sehingga 50 tahun. Pagar perintis akan dibina di bandar Imatra bermula pada musim bunga 2023. 

Helsinki semakin mengehadkan aktiviti di lintasan timurnya yang dikongsi dengan Russia. 

Ia merupakan salah satu daripada beberapa pintu masuk Moscow selepas banyak negara Barat menutup ruang udara dan sempadan mereka kepada pesawat Russia sebagai tindak balas terhadap pencerobohan di Ukraine.

Finland menutup sempadannya kepada Russia pada hujung September lalu ketika penggunaan jalan darat itu semakin rancak akibat ramai warga Russia cuba melarikan diri daripada direkrut sebagai tentera Presiden Vladimir Putin.

“Kerajaan menganggap bahawa mobilisasi Russia serta peningkatan pesat dalam jumlah pelancong yang tiba dan transit di Finland membahayakan kedudukan dan hubungan antarabangsa Helsinki,” tulis Kementerian Luar Negeri Finland dalam satu kenyataan.

Walaupun resolusi itu bertujuan menghentikan pelancong dan transit dari Russia, ia tidak akan menghalang perjalanan mendesak atas sebab kemanusiaan untuk kepentingan negara atau memenuhi kewajiban antarabangsa Finland, kata kementerian sama. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI