fbpx

[VIDEO] PRU15: Empat sahabat OKU pekak, bisu teruja dapat mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat sekawan OKU kategori pekak dan bisu teruja dapat mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Taman Maluri, di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Empat sahabat orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu yang menjadi pengundi di Parlimen Titiwangsa melahirkan rasa teruja apabila dapat menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Taman Maluri, Kuala Lumpur di sini hari ini.

Seorang pekerja salon OKU pekak bisu, Intan Liani Azmi, 39, berkata, beliau yang tiba di pusat mengundi itu seawal pukul 8 pagi berasa teruja apabila berpeluang untuk mengundi kali kedua di Parlimen Titiwangsa.

“Saya berasa seronok dapat datang mengundi hari ini.

“Saya harap pengundi lain kekal patuhi SOP, dengan pakai pelitup muka serta jaga jarak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pengundi OKU pekak bisu, Shahfez Mohd. Shah, 40, berkata, beliau tiba di pusat mengundi itu pada pukul 9 pagi bersama isteri Ayu Nurul Syuhada Mohd. Fauzi, 33.

Katanya, walaupun berasa agak gementar, beliau lega apabila mendapat bantuan daripada kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi.

“Pertama kali saya mengundi ialah pada tahun 2013, ketika itu memang rasa gementar. Bagaimanapun, kini saya sudah biasa kerana saya tahu ada kakitangan SPR akan membantu golongan seperti kami,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengundi OKU kategori sama, Mohd. Faizal Abu Osman, 39, berkata, beliau berharap kerajaan baharu nanti akan menyediakan peruntukan sewajarnya buat golongan OKU.

“Saya gembira dapat tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat pada PRU15 kali ini.

“Harapan sebagai OKU, saya harap kerajaan peruntukkan bantuan-bantuan kepada golongan OKU seperti lebihkan bantuan makanan dan macam-macam lagi,” ujarnya.

Terdahulu, Parlimen Titiwangsa mempunyai 80,747 orang pengundi berdaftar dengan tiga zon melibatkan Kampung Pandan, Datuk Keramat dan Kampung Baru.

Daripada peratusan tersebut, 72.5 peratus bersamaan 58,509 pengundi Melayu, 16.4 peratus bersamaan 13,250 pengundi Cina, sementara 9.5 peratus 7,687 adalah pengundi India, dan lain-lain, 1.6 peratus bersamaan 1, 301 pengundi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI