fbpx

AIM bantu Haddrien jana RM5,000 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Haddrien menunjukkan produk kraftangan unik hasil kreativiti gubahannya di Kuching baru-baru ini.

KUCHING – Pembiayaan modal sebanyak RM3,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Bau, Sarawak berjaya mengubah kehidupan Haddrien Atay apabila beliau menjadi seorang usahawan produk kraftangan manik yang mampu menjana pendapatan sehingga RM5,000 sebulan.

Menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, sebelum ini dia berdepan masalah kewangan ketika mula menceburkan diri dalam perusahaan kraf manik, namun berjaya mengatasinya apabila diperkenalkan dengan program pembiayaan disediakan AIM.

“Sejujurnya, perkenalan dengan AIM telah mengubah pintu rezeki saya apabila modal diperolehi digunakan dengan sebaiknya untuk mengembangkan perusahaan.

“Saya mengetahui tentang AIM daripada seorang rakan dan terus pergi ke AIM cawangan Bau untuk memohon pembiayaan modal. Berbekalkan modal daripada AIM, saya berjaya hingga sampai ke tahap sekarang serta mampu berdikari,” katanya baru-baru ini.

Bagaimanapun, Haddrien berkata, perjalanannya untuk bangkit dalam industri itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana perlu bersaing dengan ramai usahawan produk kraf manik.

“Terlalu banyak cabaran dan dugaan yang perlu ditempuh, namun hanya kesabaran sahaja dapat memberi kekuatan bagi meneruskan karier sebagai pengusaha produk kraf manik.

“Saya perlu berusaha memberikan yang terbaik kerana sekarang begitu ramai usahawan dalam bidang ini. Jika tidak menghasilkan produk yang berkualiti dan menarik, saya mungkin akan ketinggalan,” jelasnya.

Haddrien menerangkan, antara produk yang dihasilkan termasuklah aksesori wanita dan lelaki seperti rantai tradisional kaum Bidayuh dan Orang Ulu serta gelang tangan.

“Produk saya bukan sahaja mendapat tempahan daripada rakan-rakan tetapi juga dijadikan sebagai cenderahati untuk golongan kenamaan.

“Pada masa sama, saya juga mempromosikan produk melalui Facebook, Instagram dan TikTok serta menyertai pameran-pameran kraf yang dianjurkan oleh pelbagai pihak,” katanya.

Haddrien turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada AIM kerana telah membantu usahawan kecil seperti dirinya untuk terus bangun dan mengubah kehidupan.

“Saya boleh berbangga dengan diri sendiri pada masa sekarang, tanpa sokongan AIM, saya tidak akan sampai ke tahap ini,” ujarnya.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan produk manik dan tempahan boleh menghubungi Haddrien di talian 011-1403 3450 atau layari Facebook Lynn Rynns.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI