fbpx
SENATOR Republikan, Joni Ernst dalam perjalanan untuk menghadiri sesi undian di Bangunan Capitol, Washington kelmarin. - AFP

37 senator gagal sekat RUU perkahwinan songsang di Amerika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Satu rang undang-undang (RUU) yang memberi perlindungan persekutuan kepada perkahwinan songsang mara ke Dewan Senat kelmarin ketika wakil-wakil rakyat Parti Demokrat bergegas cuba melin­dungi penyatuan tersebut sementara mereka masih menguasai Kongres.

Perkembangan itu berlaku selepas sekitar 12 wakil rakyat pembangkang daripada Parti Republikan berpaling tadah dan menyertai 50 wakil rakyat Parti Demokrat untuk  mengundi menyokong RUU tersebut. Keputusan itu membolehkan ia dibahaskan di Dewan Senat.

Parti Demokrat pimpinan Presiden Joe Biden kekal me­nguasai Dewan Senat dengan kelebihan tipis dalam keputusan pilihan raya separuh penggal pada minggu lalu tetapi Parti Republikan dijangka menguasai Dewan Perwakilan,  juga dengan majoriti kecil.

Situasi itu dijangka mengundang kebuntuan apabila Kongres baharu mengangkat sumpah pada Januari 2023.

Perkahwinan songsang mendapat jaminan oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) sejak 2015.

Bagaimanapun, tindakan bersejarah mahkamah sama membatalkan hak untuk menggugurkan kandungan awal tahun ini menyebabkan banyak pihak bimbang, perkara serupa akan berlaku kepada perkahwinan songsang.

Pada pertengahan Julai lepas, Dewan Perwakilan meluluskan RUU bagi melindungi perkahwinan songsang di seluruh AS. Semua wakil rakyat Parti Demokrat di Dewan Perwakilan dan 47 wakil rakyat Parti Republikan menyokong RUU tersebut, namun hampir 160 wakil rakyat Parti Republikan lain menentangnya.

Selepas RUU tersebut mendapat kelulusan Senat, RUU sama perlu dibentangkan sekali lagi di Dewan Perwakilan untuk sesi pengundian terakhir sebelum ditandatangani oleh Biden.

Dalam perkembangan terbaharu, seramai 37 senator Parti Republikan gagal menyekat RUU tersebut daripada proses sete­rusnya untuk dikuatkuasakan menjadi undang-undang.

Ia berikutan Dewan Senat mengundi 62-37 menyokong RUU berkenaan kelmarin, manakala pengundian terakhir dijangka berlangsung hari ini (waktu Malaysia).

“Cinta adalah cinta, rakyat AS perlu diberi hak untuk berkahwin dengan orang yang mereka cintai,” kata Biden dalam satu kenyataan dan berjanji akan menandatangani RUU itu selepas semua proses kelulusan  selesai.

RUU yang mendapat kelulusan kelmarin tidak mewajibkan negeri-negeri di AS mengiktiraf perkahwinan songsang. Bagaimanapun, ia memerlukan kerajaan negeri mengiktiraf perkahwinan songsang dari ne­geri lain. – AFP

POPULAR