fbpx

PRU15: Tiket habis petanda kemenangan PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALAHUDDIN menyampaikan ceramah di sebuah restoran di Taman Johor Jaya, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) melihat situasi kehabisan tiket membabitkan perkhidmatan bas, keretapi dan kapal terbang yang berlaku ketika ini sebagai petunjuk awal kemenangan yang bakal dicapai mereka.

Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, keadaan itu menunjukkan semangat tinggi dalam kalangan rakyat negara ini untuk keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Menurut beliau, kesesakan juga dapat dilihat di laluan darat memasuki negara iaitu Tambak Johor dan Laluan Kedua.

“Jika kita lihat keadaan sekarang, tiket bas, keretapi dan juga kapal terbang ‘sold out’. Di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) juga orang Malaysia beratur untuk balik mengundi.

“Fenomena itu merupakan petanda positif kepada PH bahawa rakyat Malaysia bersemangat tinggi untuk keluar mengundi, dan semakin tinggi peratusan itu semakin cerah peluang PH untuk menang,” katanya ketika berucap pada program ‘walkabout’ PH di Taman Johor Jaya, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan bekas Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim.

Tambah Salahuddin, PH kini berada dalam ‘mood’ terbaik dimana momentum sokongan rakyat semakin meningkat jika dibandingkan dengan minggu pertama kempen yang dilihat agak perlahan.

“Dalam minggu pertama kempen, masih tidak nampak momentum itu tetapi dalam tempoh beberapa hari lepas, termasuklah dengan fenomena kehabisan tiket, ini memberi cahaya kepada PH,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan kempen politik PH bukan bersifat dendam seperti didakwa segelintir pihak, sebaliknya bersifat memperjuangkan keadilan.

“Tidak (bersifat dendam), kita ambil tindakan berdasarkan keadilan dan kita mahu semua perkara dibuat berlandaskan prosedur yang betul. Maknanya apabila PH memerintah dan sekiranya ada salah laku, kita serahkan kepada undang-undang, bukan dendam,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mahu ‘memburu’ Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang didakwanya banyak terpalit dengan salah laku. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI