fbpx

Jahitan manik penyambung rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI Mariam menunjukkan hasil jahitan manik pada pakaian pengantin yang ditempah pelanggan di Qisqama Collections di Villa Titiwangsa baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sektor perkhidmatan perunding perkahwinan adalah antara bidang terakhir dibenarkan beroperasi di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Impak daripada langkah tersebut, seorang bekas pengusaha perkhidmatan perunding perkahwinan di ibu negara, Siti Mariam Harun, terpaksa membuat tindakan drastik untuk memulakan perniagaan jahitan manik untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh PKP.

Menurut ibu kepada lima orang anak itu, idea memulakan perniagaan jahitan manik timbul selepas berbincang dengan suami dan anak-anak cara untuk meneruskan perniagaan dengan menggunakan modal yang kecil bagi menggantikan sementara perniagaan lama yang terkesan akibat Covid-19.

“Sebelum PKP, saya beroperasi di sebuah butik, namun butik tersebut terpaksa ditutup.

“Dalam memastikan kelangsungan hidup, saya mengambil keputusan pantas untuk mula menghasilkan produk-produk jahitan manik menggunakan lebihan kain baju pengantin bagi mengurangkan penggunaan modal,” katanya.

Kongsi wanita itu, produk jahitan manik menerusi jenama Qisqama Collections telah menerima sambutan menggalakkan dengan memanfaatkan aplikasi media sosial.

“Jualan secara dalam talian banyak membantu dalam menambah pendapatan, ia merupakan platform jualan yang sangat efektif terutama ketika situasi PKP,” jelasnya.

Bekas kakitangan Majlis Yayasan Pelajaran MARA (YPM) itu menambah, minat mendalam dalam bidang jahitan menjadikan dia lebih serius memastikan hasil jahitan adalah berkualiti dan memenuhi kehendak pelanggan, sehingga hasil tangannya mula menjadi buah mulut dalam kalangan pelanggan, seterusnya membantu dalam aspek pemasaran.

“Bagi menghasilkan kualiti jahitan manik yang memuaskan hati pelanggan, saya memastikan hanya manik yang berkualiti sahaja digunakan, agar warnanya tidak mudah luntur dan maniknya tidak mudah pecah atau tertanggal.

“Saya juga menggunakan batu Swarowski gred tinggi yang diimport dari Jepun dan Korea bagi menambahkan lagi seri dalam setiap jahitan,” katanya.

Sementara itu, Siti Mariam memberitahu, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) banyak membantu dalam mengembangkan perniagaan.  Bermula dengan pinjaman permulaan RM3,000 pada tahun 2017, dia kini telah berjaya memperolehi pendapatan bulanan bersih sebanyak RM17,000 sebulan.

“Saya amat berterima kasih atas bantuan pihak AIM yang telah memberikan pinjaman berjumlah hampir RM200,000 bagi membantu saya untuk mengembangkan perniagaan sehingga ke tahap ini,” katanya.

Qisqama Collections kini turut menyediakan Villa yang terletak di Titiwangsa dalam pakej perkahwinan selain daripada menyediakan khidmat katering, solekan, busana pengantin, doorgift, hantaran dan pelbagai lagi di samping menawarkan perkhidmatan jahitan manik baju selain selendang pengantin, bag tangan dan bunga telur.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan, boleh menghubungi 019-219 8429 atau melayari laman Facebook dan Instagram QisQama Collections. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI