fbpx

Separuh jururawat di AS mahu berhenti kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jururawat memeriksa keadaan seorang pesakit Covid-19 di sebuah hospital di Los Angeles, California. – Los Angeles Time

WASHINGTON – Satu kaji selidik dalam kalangan jururawat di Amerika Syarikat (AS) mendapati separuh daripada mereka mengaku mempertimbangkan untuk meninggalkan kerjaya murni tersebut, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Kaji selidik itu dilakukan oleh firma kajian pasaran, OnePoll dengan kerjasama platform digital untuk jururawat, connectRN. Ia  melibatkan seramai 1,000 jururawat.

Menurut hasil kajian, alasan utama responden ingin meletak jawatan berpunca daripada  masalah kekurangan jururawat (61 peratus),  diikuti  mahu memiliki keseimbangan kerjaya dalam hidup (58 peratus), kebimbangan mengenai kesihatan mental (56 peratus) dan rasa tidak dihargai (51 peratus).

Selain itu, 58 peratus responden berpendapat bahawa majikan tidak mengambil tindakan yang sepatutnya bagi mengatasi masalah kekurangan jururawat.

“Covid-19 telah menyukarkan industri (kejururawatan), namun kini situasi bertambah baik,” kata beberapa responden yang menasihati bekas jururawat untuk kembali bekerja.

Kaji selidik sama turut mendedahkan bahawa sembilan daripada 10 jururawat percaya bahawa kualiti penjagaan pesakit berkurangan akibat masalah kekurangan jururawat.

Sebanyak 55 peratus daripada mereka turut mengaku berasa bersalah untuk berehat seketika semasa bertugas kerana berpendapat perlu sentiasa berada dalam keadaan siap siaga. 

Ketua Pegawai Eksekutif connectRN, Ted Jeanloz berkata, jururawat memerlukan kaedah baharu untuk bertugas agar ada penyelesaian kepada masalah kritikal melibatkan  kekurangan kakitangan sedia ada.

“Dengan memberi kelonggaran kepada jururawat, kita boleh memujuk mereka kembali ke bidang kerjaya sebagai jururawat dan memastikan mereka dan pesakit tidak menderita. Ini dapat mengurangkan tekanan yang mereka hadapi selama ini,” ujarnya. 

Secara keseluruhan, antara perubahan yang diminta responden adalah komunikasi lebih baik dengan pihak pengurusan (57 peratus), peluang untuk berunding mengenai gaji (57 peratus), peralatan perubatan lebih baik (38 peratus) dan peluang untuk kenaikan pangkat (35 peratus).

“Kebanyakan jururawat menyertai bidang ini kerana mereka menyukainya. Namun, sekiranya berasa tertekan dan diambil kesempatan disebabkan sistem bekerja, mereka akan ‘terlupa’ tujuan sebenar bertugas sebagai jururawat.

“Kita perlu memberikan fleksibiliti kepada jururawat supaya mereka boleh bertugas dengan gembira seterusnya menjadi jururawat yang terbaik,” kata Jeanloz. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI