fbpx

PRU15: UMNO tak rosak, cuma perlu diterajui generasi muda – KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin ketika ditemui pemberita selepas Progran Ramah Mesra Bersama Pelajar Tahfiz Darul Ulum Az Zahra, Sungai Buloh hari ini

SUNGAI BULOH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan kenyataannya yang mahu ‘membersihkan’ UMNO bukanlah merujuk kepada parti itu rosak, sebaliknya beliau ingin melihat kebangkitan generasi muda sebagai pemimpin baharu.

Penyandang kerusi Parlimen Rembau itu berkata, generasi baharu mesti memberi aspirasi kepada orang ramai bahawa UMNO sedang berubah dengan menampilkan sebahagian besar calon muda dan baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Maksudnya, UMNO dan BN adalah pilihan terbaik, tapi orang ramai hendak melihat kepada generasi baharu, kepimpinan baharu dalam UMNO, itu maksud saya.

“Bukan saya maksudkan parti itu rosak, parti tidak rosak, cuma kita hendak melihat satu kebangkitan generasi kepemimpinan yang baharu dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pemimpin kita.

“Di belakang beliau (Ismail Sabri) ada pelapis pemimpin muda, saya dan rakan-rakan serta ramai calon muda kali ini, kalau kita lihat, generasi baharu ini mesti bagi aspirasi kepada orang ramai bahawa UMNO sedang berubah dengan calon-calon muda baharu dengan saya hendak bersama mereka,” katanya kepada pemberita selepas Progran Ramah Mesra Bersama Pelajar Tahfiz Darul Ulum Az Zahra di sini, hari ini.

Terdahulu, Khairy Jamaluddin ketika berucap di satu majlis silaturahim malam tadi di sini secara terbuka mengakui tidak menggemari segelintir pemimpin UMNO dan mahu ‘membersihkan’ parti itu, jika berjaya menawan Parlimen Sungai Buloh pada PRU15.

Katanya, semua pihak perlu mengakui bahawa UMNO harus berubah untuk kembali menjadi parti yang boleh dibanggakan dan menjadi wadah politik yang bersih seperti suatu ketika dahulu.

Susulan daripada kenyataan beliau itu, pelbagai persoalan dan spekulasi mula timbul dalam kalangan orang ramai mengenai parti tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI