PADANG BESAR – Cubaan satu sindiket menyeludup 50 ketulan mampat ganja gagal apabila dadah tersebut ditemui di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Chuping, dekat sini semalam.
Dua guni berisi ketulan mampat ganja itu ditemui di dalam semak oleh anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 5.30 pagi.
Ganja yang berjaya dirampas itu dianggarkan bernilai RM125,000.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Superintendan Mohd. Shokri Abdullah berkata, anggota kemudian melakukan pemerhatian di lokasi tersebut selama dua jam, namun tiada sebarang pergerakan dikesan.
“Polis percaya suspek dipercayai dari negara jiran memikul dua guni dedak berisi bahan terlarang itu untuk diseludup ke negara ini.
“Penyeludup berkemungkinan mencampakkan guni itu ke kawasan semak selepas mendapat maklumat kehadiran anggota keselamatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar di sini hari ini.
Kejayaan tersebut adalah antara rampasan dadah jenis ganja tanpa tangkapan terbesar di Padang Besar pada tahun ini.
Menurut Mohd. Shokri, siasatan awal mendapati dadah berkenaan diseludup melalui jalan sempadan.
“Penyeludup dikesan memotong pagar keselamatan bagi memudahkan pergerakan menyeludup dadah dari negara jiran ke Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya, jumlah ganja yang dirampas itu mampu membekalkan kepada 100,000 penagih di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE