PASIR SALAK – Lebih 40,000 daripada 74,761 pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sini merupakan pengundi ‘putih’ Barisan Nasional (BN), menurut Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sehubungan itu, beliau berkata, calon lawan yang bertanding di Parlimen Pasir Salak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik dan Kampong Gajah tidak perlu membuang masa bertanding di sana.
“Daripada 74,000 pengundi di Pasir Salak, sekurang-kurangnya 40,000 adalah pengundi-pengundi ‘putih’ BN. Yang ini boleh beritahu kepada semua lawan kita.
“Boleh bagitahu kepada semua calon Parlimen, calon Sungai Manik, calon Kampong Gajah, beritahu mereka, jangan buang masa, jangan buang duit, jangan buang tenaga kerana kami akan menang, insya-Allah,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Himpunan Solidariti Kestabilan Demi Kesejahteraan Parlimen Pasir Salak di Command Centre BN Pasir Salak di sini.
Mengulas lanjut, Saarani menegaskan bahawa petugas pilihan raya BN perlu menunaikan tanggungjawab mereka dalam memastikan semua pengundi ‘putih’ berkenaan keluar mengundi.
Beliau berkata, ia bagi memastikan kesilapan yang berlaku pada PRU14 tidak berulang kembali iaitu apabila pengundi ‘putih’ BN tidak keluar mengundi.
Menurut beliau, ia menyebabkan BN Perak tewas secara tipis di beberapa DUN iaitu di Titi Serong, Chenderiang, Selama, Kubu Gajah dan Behrang. – KOSMO! ONLINE














