fbpx

Eyda Furnishing jadi Pusat Transformasi Jahitan AIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norhidayah tekun memilih fabrik bersesuaian untuk memenuhi tempahan pelanggan yang berkunjung ke kedainya di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Pengalaman bekerja di sebuah kedai jahitan hiasan dalaman selama lima tahun di Keramat, Kuala Lumpur menjadi titik tolak untuk Norhidayah Abd Rahman, 37, menjadi usahawan jahitan langsir yang berjaya.

Norhidayah atau lebih mesra dipanggil Ida berkata, bermodalkan hanya RM600 untuk membeli mesin jahit dan mesin jahit tepi, dia nekad untuk memulakan perniagaan sendiri bagi memenuhi cita-cita menjadi usahawan.

Dia sebelum ini bekerja hanya sebagai tukang jahit selama lapan bulan dan seterusnya diberi kepercayaan untuk membuat kerja-kerja memotong kain.

“Peluang yang diberikan itu saya gunakan sepenuhnya untuk mempelajari selok-belok perniagaan kerana berpeluang untuk berjumpa terus dengan pelanggan, melawat lokasi pemasangan serta bertemu dengan pembekal kain.

“Pendek kata 90 peratus pengalaman untuk memulakan perniagaan adalah daripada pengalaman,” jelas anak kelahiran Ampang ini kepada Kosmo!.

Menceritakan pengalaman awal perniagaan Eyda Furnishing yang diusahakan di Kota Damansara, Ida berkata, perniagaan itu dimulakan pada tahun 2017 menggunakan modal sebanyak RM3,000 yang diperolehi daripada Amanah Ikhtiar Malaysia.

Modal tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuka akaun bagi mendapatkan bekalan kain, bingkai dan rod langsir serta kelengkapan lain daripada pembekal.

Namun, katanya, cabaran paling besar adalah mendapatkan kepercayaan pelanggan lebih-lebih lagi usahawan yang baru berniaga sepertinya.

“Pelanggan pertama saya adalah berbangsa Cina, keupayaan saya mendapat kepercayaan pelanggan tersebut telah menjadi penanda aras terhadap kualiti kerja kerana bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan daripada mereka.

“Saya berusaha menyiapkan tempahan dengan kualiti kerja pada tahap tertinggi sehingga mendapat kepercayaan daripada pelanggan berlainan bangsa,” jelasnya.

Tambah Ida, terdapat perbezaan ketara di antara pelanggan berbangsa Melayu dan Cina yang mana pelanggan berbangsa Cina lebih mementingkan kualiti kerja dan kebiasaannya memilih satu corak atau warna berbanding pelanggan Melayu yang lebih gemar memilih pelbagai corak dan warna.

Mengulas mengenai cara dia memasarkan produk, pada awal perniagaan promosi hanya tertumpu kepada firma-firma hiasan dalaman di sekitar Lembah Klang dengan membawa contoh-contoh jahitan yang dihasilkan.

“Alhamdulillah bermula dari situ perniagaan saya semakin berkembang dan mendapat banyak pelanggan baharu yang mana 70 hingga 80 peratus pelanggan tersebut di peroleh hasil daripada testimoni mulut ke mulut pelanggan.

“Selain memberikan perkhidmatan secara terus kepada pelanggan, saya juga berpeluang menyertai beberapa tender memasang langsir daripada agensi kerajaan seperti Hospital Pakar Kanak-Kanak Kuala Lumpur dan hotel bertaraf lima bintang seperti Marriott Hotel dan Le Meridien Hotel di Putrajaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai pengalamannya sebagai Sahabat AIM, katanya, pinjaman yang diperoleh membolehkan syarikat berkembang secara berperingkat menerusi pembelian mesin jahitan yang dapat melancarkan usaha menghasilkan kuantiti tempahan yang lebih banyak.

Berkat daripada bantuan yang diperoleh daripada pihak AIM, Ida kini memiliki galeri jahitannya sendiri dengan hasil pendapatan berjumlah RM30,000 sebulan.

Malah, apa yang lebih membanggakan, galeri jahitannya turut dijadikan Pusat Transformasi Jahitan oleh pihak AIM bagi melatih sahabat-sahabat AIM yang terlibat dalam perniagaan jahitan di sekitar Lembah Klang.

Selain menyediakan perkhidmatan jahitan pemasangan langsir, Ida juga menghasilkan produk lain seperti sarung kusyen, beg tangan dan cenderamata korporat yang boleh dimiliki dengan harga serendah RM30 sahaja.

Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi 011-2883 5773 atau layari laman Facebook dan Instagram eydafurnishing. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI