fbpx

Fantasi keasyikan Jula Juli Bintang Tujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMENTASAN teater muzikal Jula Juli Bintang Tujuh yang diadakan pada 29 dan 30 Oktober lalu di Istana Budaya berjalan dengan sukses dan berjaya memukau perhatian penonton.

PEMENTASAN teater muzikal Jula Juli Bintang Tujuh yang berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya pada 29 dan 30 Oktober lalu boleh dianggap sebagai persembahan yang berjaya membawa dimensi baharu dalam seni teater.

Antara yang mencuri tumpuan adalah permainan kesan khas hologram yang melatari pentas sepanjang pementasan sehingga membangkitkan imej fantasi dunia kayangan penuh keasyikan.

Suasana alam kayangan yang digambarkan begitu indah dapat diterjemahkan secara nyata dengan bantuan imej hologram mampu membawa penonton seperti berada di awan-awangan.

Dipentaskan selama dua hari, di tangan Zaifri Husin selaku pengarah, Jula Juli Bintang Tujuh tampil mempesona mengheret sekitar 1,700 penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

Tepat pukul sembilan malam, saat tirai panggung dibuka, hadir tujuh ‘bidadari kayangan’ menari-nari dengan busana indah berwarna putih sambil diiringi gema muzik diketuai oleh pengarah muzik, Ts Mohd. Hafiz Askiak.

“Inilah riwayat kisah tak tercatat. Puteri yang terlibat membawa akibat. Puteri rebutan kerana kecantikan. Pandang tak keruan sesiapa tertawan.”

Demikian antara bait kata-kata watak pendeta saat muncul menceritakan tentang kisah Jula Juli Bintang Tujuh.

Mengisahkan percintaan di alam kayangan, kata-kata yang disampaikan dalam bentuk dendangan menarik halwa telinga penonton untuk menghayati jalan cerita dengan penuh tekun.

Ditambah dengan kemerduan nyanyian pelakon yang membintangi, Shiha Zikir selaku Puteri Bongsu dan Zam Ryzam sebagai Putera Mahkota, persembahan muzikal tersebut berjaya membuai emosi penonton yang berada di dalam panggung.

Setiap pertukaran antara satu babak ke babak yang lain juga berjalan cermat termasuk pemindahan prop untuk disesuaikan dengan latar setiap adegan.

Pujian wajar diberikan kepada pereka prop, Mior Salim Mior Abu Bakar atas idea imaginasinya menghidupkan suasana alam kayangan dengan gambaran sebegitu indah.

LAKONAN berkesan Shiha Zikir yang membawakan watak Puteri Bongsu wajar diberikan pujian walaupun baru pertama kali terlibat dalam pementasan teater.

Seperti yang diterjemahkan menerusi filem Jula Juli Bintang Tujuh arahan Allahyarham M. Amin pada tahun 1962, kisah tujuh puteri yang disumpah menjadi buah delima turut diterjemahkan dengan baik pementasan muzikal berkenaan.

Malah, jalan cerita yang dipamerkan tidak memberi tanda-tanya buat generasi baharu yang mungkin tidak pernah didedahkan dengan cerita dongeng tersebut.

Tidak hanya nyanyian dan muzik, kesan cahaya dan bunyi khas menambah suasana dalam penceritaan juga wajar diberikan pujian.

Mana tidaknya, elemen letupan ditambah dengan permainan pencahayaan menghidupkan suasana, terutama ketika waktu tegang pertarungan antara mambang dan jin yang berebut mahu mendapatkan tujuh puteri jelita.

Dalam keasyikan, lakonan Ezad Lazim yang memegang watak sebagai Putera Mambang dan Joey Daud sebagai Raja Kayangan tidak ditenggelami imej fantasi.

Masing-masing penuh beremosi membawakan watak dengan penghayatan cemerlang, lebih-lebih lagi karakter Ezad sebagai antagonis.

Shiha yang membawakan watak Puteri Bongsu, bersyukur dan terharu apabila pementasan teater muzikal Jula Juli Bintang Tujuh berjalan dengan lancar walaupun mengalami sedikit masalah kesihatan.

EZAD LAZIM cemerlang membawakan watak jahat bernama Putera Mambang.

“Semuanya berjalan dengan lancar walaupun saya tidak berapa sihat. Dua hari pementasan, tiba-tiba saya diserang selesema.

“Saya bimbang juga kerana perlu menyanyikan 11 buah lagu dalam teater ini. Tapi mujur dapat dikawal dengan bantuan ubat-ubatan,” katanya.

Secara keseluruhan, Jula Juli Bintang Tujuh yang dipentaskan dalam bentuk teater muzikal sebenarnya sedikit sebanyak mengubat kerinduan pencinta seni persembahan pentas terutama, teater apabila panggung berprestij seperti Istana Budaya kembali bergema selepas pandemik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI