fbpx

Bakal ‘ditidurkan’, dibedah Isnin ini, Zamani berserah kepada Allah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAMANI kini mempersiapkan mental sebelum menjalani penbedahan tulang belakang pada Isnin ini.

PETALING JAYA – Vokalis Slam, Zamani mengakui gementar untuk menjalani pembedahan tulang belakang bagi merawat masalah’bongkok’ yang dihidapinya di sebuah pusat perubatan pada 7 November ini.

Kata penyanyi berusia 51 tahun itu, perasaan takut itu hadir memandangkan kali terakhir masuk ke bilik pembedahan adalah sekitar 20 tahun lalu bagi membuang batu karang.

Katanya, persediaan mental menjadi perkara utama yang sangat dititikberatkan menjelang hari pembedahan nanti.

“Sudah tentu perasaan takut itu tetap ada tetapi bukan disebabkan risau perkara buruk berlaku kerana saya berserah semuanya kepada Allah.

“Perasaan gementar itu muncul berikutan ini pembedahan besar pertama yang bakal saya jalani selepas pernah melakukan operasi kecil membuang batu karang, dua dekad lalu.

“Saya dimaklumkan prosedur pembedahan nanti dijangka berdurasi dua jam setengah dan saya akan ditidurkan,” katanya selepas majlis bacaan Yasin dan doa selamat secara virtual, malam tadi.

Acara kelolaan kelab peminat penyanyi itu turut disertai lebih 60 orang yang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan serta rakan selebriti.

Pada masa sama, akuinya selain mental dia perlu memastikan kesihatannya juga berada pada tahap memuaskan menjelang hari pembedahan Isnin depan.

“Saya ikut saja saranan doktor dari segi diet dan pengambilan vitamin, mudah-mudahan kesihatan saya berada pada tahap yang baik sebelum menjalani prosedur tersebut.

“Doktor turut maklumkan fasa selepas pembedahan mengambil masa yang agak lama untuk sembuh sepenuhnya sebelum saya boleh aktif semula.

“Sepanjang tempoh pemulihan saya perlu membuat rawatan susulan, selain mematuhi latihan fisioterapi yang ditetapkan pakar,” katanya yang mengalami masalah tulang belakang melengkung atau penyakit skoliosis sejak 2015.

Menurut vokalis Slam itu lagi, proses pemulihan yang membolehkannya untuk kembali ke arena nyanyian dianggarkan memerlukan tempoh tiga bulan.

Pada masa sama, Zamani berharap orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan serta kelancaran urusan pembedahan yang akan dilaluinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI