fbpx

PATI dedah sengsara guna khidmat sindiket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian PATI Indonesia yang ditahan APMM Selangor. FOTO: AFIQ RAZALI

KLANG – Sekumpulan 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) hanya diberikan mi segera sebagai alas perut oleh sindiket dalam menempuh perjalanan selama 16 jam bagi memasuki negara ini.

Lebih memeritkan makanan itu diberikan hanya sekali selain terpaksa berhimpit seperti sardin di dalam bot dengan berdepan gelora laut sepanjang berlepas dari perairan Indonesia .

Kesengsaraan itu diceritakan seorang PATI wanita dikenali Suhaili,29, yang menggunakan sindiket tersebut bagi bekerja semula di sebuah ladang kelapa sawit di Pahang.

Menurut ibu kepada enam anak itu, perjalanannya itu diuruskan oleh suaminya berusia 42 tahun yang kini bekerja di sebuah ladang di Pahang.

“Sebelum ini, saya kerja di Malaysia selama tiga tahun dengan gaji antara RM900 hingga RM1,500 dan memasuki negara ini secara sah pada 2012.

“Mungkin kos agak tinggi menyebabkan suami memilih sindiket kerana harga ditawarkan hanya berjumlah RM2,100 berbanding sah mencecah RM5,100,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Maritim Malaysia (APMM) Selangor di sini, hari ini.

Wanita berasal dari Lombok, Indonesia itu mengakui serik menggunakan khidmat sindiket yang langsung tidak menjaga kebajikan para penumpangnya (PATI).

“Sudahlah terpaksa berhimpit, makan pun hanya mi segera sekali sahaja dengan keadaan perut lapar dan dilambung ombak lagi.

“Memang saya serik apatah lagi selepas ditahan pihak berkuasa Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, seorang PATI lelaki dikenali Alfin,22, dia mendapat tahu khidmat berkenaan menerusi rakannya sebagai jalan pintas tanpa melalui pelbagai proses dokumentasi.

Tambah lelaki berasal dari Kupang, Nusa Tenggara Timur dia ditawarkan bekerja di sebuah kebun sayur di Ipoh, Perak.

“Rakan memaklumkan di Malaysia, gajinya enak (berpatutan) dan saya kerja bagi menampung keperluan seorang anak dan isteri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar tidak menolak aktiviti ekonomi negara yang telah kembali rancak selepas era pandemik Covid-19 telah menyebabkan cubaan sindiket membawa masuk pekerja secara haram.

“Aset-aset APMM telah diletakkan dalam keadaan siaga bagi menyekat aktiviti penyeludupan khasnya bagi kes-kes jenayah rentas sempadan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI