fbpx

[KEMASKINI] Sisa bahan kimia dibuang sejak seminggu lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSLI menunjukkan longgokan tong berisi cecair bahan buangan terjadual yang ditemukan di kawasan lapang di Kampung Kepayang, Simpang Pulai hari ini.

IPOH – Longgokan 33 tong berisi cecair bahan buangan terjadual yang ditemukan di kawasan lapang di Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini semalam dipercayai dibuang secara haram sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul berkata, ia berdasarkan pemerhatian terhadap bau dan tindak balas bahan tersebut dengan persekitaran.

“Berdasarkan maklumat pengadu, tong berisi cecair bahan buangan terjadual itu dipercayai telah dibuang di kawasan ini dalam tempoh seminggu.

“Bagaimanapun, melihat kepada bau yang kuat dan tindak balas bahan tersebut kepada persekitaran, kita jangka (dibuang) dalam sehari ke dua hari lalu,” katanya ketika ditemui di tapak pembuangan bahan tersebut di sini hari ini.

Menurut beliau, sampel bahan terjadual itu telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis sekali gus memastikan proses pemindahan bahan tersebut selamat kepada petugas.

Katanya, keputusan proses analisis itu dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

“Hari ini apabila kita sampai di lokasi, terdapat bau yang tidak menyenangkan tetapi setempat sahaja dan tidak sampai ke kawasan sensitif.

“Bahkan, dari segi pemantauan kualiti udara dan pengukuran di kawasan kediaman berhampiran, setakat ini menunjukkan bacaan setempat dan tidak melibatkan kawasan sensitif yang berdekatan.

“Dalam konteks ini, keadaan adalah selamat, namun untuk kerja-kerja pembersihan dan pemindahan, kita perlu mendapatkan maklumat untuk mengenal pasti kandungan bahan berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya telah mengambil keterangan seorang lelaki berusia 47 tahun selepas dijumpai bersama sebuah lori bermuatan 13 tong kosong di lokasi kejadian semalam.

“Keterangan awal telah diambil dan lelaki tersebut dilepaskan dengan jaminan. Kes disiasat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI