fbpx

PRU15: GTA Temerloh mula bergolak soal pencalonan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. ROFAIE (tengah) dalam sidang akhbar semasa perjumpaan dengan ahli GTA di Temerloh malam semalam.

TEMERLOH – Berbaki enam hari penamaan calon menyaksikan pergeseran mula berlaku dalam parti Gerakan Tanah Air (GTA) Temerloh melibatkan isu pencalonan apabila Pengerusi GTA Pahang, Aminuddin Yahaya dikatakan menjadi calon pilihan GTA bagi mewakili Temerloh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Susulan itu, GTA Temerloh mendesak pucuk pimpinan meletakkan Pengerusi Penyelaras GTA Temerloh, Datuk Mohd. Rofaie Hamdan sebagai calon di kerusi Parlimen itu atau mereka akan undur diri daripada memberi sokongan sepanjang kempen pilihan raya.

Ketua Pejuang Muda Pahang, Mohamad Faiz Dzulkifli berkata, mereka mahukan calon tempatan yang dikenali oleh pengundi dan sering turun padang sejak sebelum pilihan raya lagi.

“Kami ada mendengar pucuk pimpinan mahu meletakkan calon lain selain daripada Mohd Rofaie. Jika ini berlaku, kami tidak teragak-agak melepaskan jawatan dalam parti dan tidak akan memberi sokongan sepanjang kempen.

“Kami sudah bosan dengan calon-calon dari luar kerana mereka tiada semasa kami (orang Temerloh) susah, tiada ketika Temerloh dilanda banjir sebanyak dua kali mahupun semasa kami memulihkan ekonomi Temerloh pada fasa Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Solidariti Anak Muda untuk P088 Temerloh, di sini malam semalam.

Menurut Mohamad Faiz , sekiranya pucuk pimpinan gagal mendengar suara akar umbi dalam parti, tidak mustahil mereka juga gagal untuk mendengar suara rakyat.

Tegasnya, sekiranya Mohd Rofaie tidak dicalonkan, pihaknya akan menarik diri dan tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti berkaitan GTA di Parlimen Temerloh.

Dalam pada itu Setiausaha Pejuang GTA Temerloh, Abu Bakar Mohd Husain memberitahu, semua anak muda di bawah Parlimen Temerloh menyatakan sokongan kepada Mohd Rofaie malah mereka juga bakal menjadi penggerak pada PRU15 di Temerloh.

Sementara itu Mohd. Rofaie menzahirkan rasa terkilan apabila Majlis Pelancaran Jentera Gagasan Bangsa (GB) yang diketuai Aminuddin semalam dilaksanakan tanpa memaklumkan kepada parti lain atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah naungan GTA.

Beliau yang turut tidak dijemput dalam majlis itu berkata, pelancaran jentera parti sepatutnya tidak dilaksanakan bersendirian kerana menunjukkan tiada kesepakatan antara GTA di Parlimen Temerloh.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, jika mahu melancarkan jentera seharusnya melibatkan semua parti dan NGO di bawah GTA. Ini tidak, hanya segelintir pihak dijemput bersama dalam program itu sedangkan kami dan parti lain tidak terlibat.

“Ini sudah pasti menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan penyokong GTA yang lain sedang kita mengharapkan sokongan padu daripada pengundi muda di Temerloh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI