fbpx

Aaron-Wooi Yik fokus Jelajah Dunia Akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON dan Wooi Yik tidak akan menyertai Terbuka Hylo untuk menjalani latihan intensif menjelang aksi Jelajah Dunia Akhir.

JURULATIH beregu lelaki kebangsaan, Tan Bin Shen mendedahkan, gandingan No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak akan menyertai Kejohanan Badminton Terbuka Hylo yang dijadualkan berlangsung 1 hingga 6 November depan.

Sebaliknya, juara dunia itu akan pulang ke tanah air bagi menjalani latihan intensif sebagai persiapan terbaik sebelum menghadapi kejohanan Jelajah Dunia Akhir di Guangzhou, China Disember nanti.

Bin Shen menjelaskan, beliau mahu Aaron-Wooi Yik meningkatkan fokus dalam gelanggang bagi mengelak aksi mengecewakan seperti yang dialami ketika tersingkir di pusingan pertama Terbuka Perancis minggu lalu.

“Pertama sekali, mereka tidak akan menyertai kejohanan Terbuka Hylo di Jerman memandang­kan sudah layak untuk beraksi pada Jelajah Dunia Akhir. Oleh itu, kami akan pulang untuk buat persiapan.

“Mungkin dalam minggu ini kami akan sampai ke Malaysia dan Aaron-Wooi Yik perlu memperbaiki setiap kelemahan yang ada. Selain latihan, kami juga akan buat analisis mengenai aspek-aspek yang perlu diperbaiki,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Beliau yang juga bekas pemain kebangsaan menegaskan, beregu lelaki No.4 dunia itu perlu lebih tenang apabila melangkah ma­suk ke dalam gelanggang sekiranya mahu memastikan standard permainan mereka terus konsisten.

“Sasaran ketika ini adalah untuk fokus dalam latihan terlebih dahulu kerana kita mahukan aksi yang konsisten pada Jelajah Dunia Akhir nanti. Kepala (fikiran) dan hati perlu sentiasa fokus terhadap apa yang dimahukan,” ujar Bin Shen.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik ditunjukkan jalan keluar se­awal pusingan pertama pada kejohanan Terbuka Perancis selepas tewas dalam aksi straight-set 13-21, 14-21 kepada beregu muda China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Sementara itu, perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia juga sah menarik diri daripada menyertai kejohanan Terbuka Hylo atas urusan peribadi yang memerlukan dia pulang ke tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI