fbpx

RM1.8 bilion atasi isu banjir – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Kerajaan tidak berdiam diri dalam berhadapan isu banjir di Pahang apabila bertindak proaktif menyediakan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion bagi menghadapi monsun timur laut di negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan berkenaan akan digunakan bagi melaksanakan pelbagai projek termasuk tebatan banjir dalam usaha mengelak kejadian banjir yang lebih buruk.

“Bagi menghadapi monsun timur laut, sebanyak RM1.8 bilion disediakan di bawah projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai termasuk di Kampung Tanjung Batu, Pekan dan Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting Mukim Pelangai di Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam Bandar Bera.

“Selain itu terdapat projek perintis kawalan hakisan dan kelodak di kawasan bercerun Cameron Highlands yang melibatkan kos RM6.07 juta bagi mengurangkan masalah serta meningkatkan kelancaran sistem saliran,”katanya ketika berucap pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan penduduk di kawasan berisiko banjir di negeri ini seperti di Chegar Medang dan Benus di Bentong bukan sahaja hidup dalam ketakutan, malah sudah bersedia melarikan diri jika banjir besar berlaku di kawasan mereka buat kali ketiga.

Tinjauan Kosmo! di Kampung Chegar Medang dan Benus di sini mendapati, bukan sahaja belum bermula sebarang projek tebatan banjir, malah kawasan su­ngai di belakang kampung masih tidak dibersihkan.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, masyarakat di negeri ini akan terus dibela seperti mana di seluruh negara melalui pelbagai perancangan dan peruntukan yang telah disediakan.

Beliau berkata antaranya, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.307 bilion untuk menaik taraf dan menyenggara jalan persekutuan di Pahang, sekaligus merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

Tambahnya, sebanyak RM572.8 juta juga telah diperuntukkan bagi projek-projek pembinaan dan menaik taraf jambatan serta jejantas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan rakyat di negeri ini.

“Sebanyak RM1.215 bilion akan dibelanjakan untuk pembinaan dua loji rawatan air baharu, lima projek penambaikan loji rawatan air dan muka sauk, tujuh projek pembinaan tangki air untuk sistem agihan dan satu Program Non Revenue Water (NRW) bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Pahang,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI