fbpx

Intan Najuwa akur hero minta jangan bersentuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INTAN Najuwa yakin tiada kontrovesi dengan Yusuf Bahrin dalam drama Jesnita.

KUALA LUMPUR – Pelakon Intan Najuwa menghormati permintaan aktor gandingannya, Yusuf Bahrin yang meletakkan batasan tidak bersentuhan dalam drama terbaharu mereka berjudul Jesnita.

Intan, 25, berkata, sepanjang penggambaran dia lebih berhati-hati dan menjaga batas dalam lakonan.

“Saya tiada masalah, itu hak dia untuk tidak bersentuhan. Bila tahu tentang itu saya hormati dan lebih berhati-hati.

“Saya terus letakkan dalam kepala dan tahu nak buat macam mana,” ujarnya.

Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid yang sering dikaitkan dengan hero gandingannya yakin tiada sebarang kontroversi akan timbul dalam Jesnita.

“Saya rasa kali ini tiada kontroversi sebab drama ini bukan cerita cinta. Lebih kepada cerita tentang keluarga. Saya yakin tiada timbul kontroversi yang tidak sepatutnya,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas tentang cara dirinya berdepan kontroversi, Intan berkata, dia lebih memilih untuk berdiam diri berbanding memanjangkan sesuatu perkara.

“Saya lebih suka diam saja, kalau melenting saya takut buat kesilapan atau cakap benda-benda yang buruk dan mengeruhkan keadaan.

“Selalunya bila semua dah reda baru saya bercakap tentang itu. Saya tolak tepi perkara yang bawa toksik dalam kehidupan saya,” ujarnya.

Berkongsi tentang drama Jesnita pula, pelakon itu mengakui menerima tawaran tersebut bagi mencabar dirinya membawa watak wanita berani.

“Saya mahu keluar dari zon yang selalu bawa watak komedi, romantik, wanita lemah dan ditindas. Kali ini saya jadi wanita yang kuat dan sanggup lakukan apa sahaja untuk hidup senang,” ujarnya.

Jesnita turut dibarisi pelakon popular lain seperti Nasha Aziz, Fikry Ibrahim, Malek Maccrone dan Fathia Latiff.

Drama 40 episod tersebut akan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat bermula 7 November ini di Astro Prima. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI