fbpx

Gula melaka, ‘nise’ lebih berkhasiat daripada gula putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Gula palma atau di sesetengah tempat dikenali sebagai gula ‘nise’, gula merah ataupun gula melaka mempunyai khasiat yang lebih baik daripada gula pasir putih.

Ini kerana kata Pakar Perubatan, Dr. Zubaidi Ahmad, gula palma ini kaya dengan vitamin dan mineral kerana ia tidak menjalani proses penghasilan yang banyak dan bukan produk berproses (unrefined sugar).

Jelasnya, gula palma adalah pemanis asli yang berkalori diperolehi daripada putik bunga pokok palma.

Selain itu katanya, ia berasal daripada sumber yang semula jadi dan dianggap natural kerana proses penghasilan yang minimum serta tiada bahan kimia digunakan.

“Dalam kajian makmal mendapati, gula palma kaya dengan mineral seperti potassium, phosphorus, zink, zat besi, manganese, sejumlah kecil phytonutrient seperti polyphenols, flavonoid dan anthocyanidin serta antioksida yang tinggi.

“Ia juga kaya dengan B vitamin, seperti thiamine, riboflavin, asid folik dan choline yang sangat diperlukan dalam membentuk sel-sel yang sihat yang ada pada tisu dan organ,” kongsinya di laman Facebook semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Zubaidi berkata, gula palma yang telah disiapkan mengekalkan 16 jenis asid amino seperti yang terdapat dalam cecair pada putik bunga pokok palma tersebut.

Katanya, asid amino ini juga penting dalam pembentukan sel dan merawat tisu yang rosak.

“Selain itu, gula palma mempunyai nilai Indek Glisemik (GI) yang rendah, iaitu 35. Ini bermakna penyerapan gula ke darah darah sangat perlahan dan peningkatan insulin pula tidak tinggi.

“Berbanding dengan gula putih yang tiada nutrien di dalamnya dan ia juga mempunyai GI yang tinggi iaitu 68,”ujarnya.

Bagaimanapun Dr. Zubaidi berkata, nilai karbohidrat dan gula ringkas dalam gula palma masih sama dengan pemanis berkalori yang lain.

“Satu kecil sudu gula putih dan gula palma mempunyai lima gram gula ringkas bersamaan 20 kalori.

“Dengan itu gula palma lebih baik daripada gula putih atas faktor ia adalah gula yang semula jadi dan natural (tidak menjalani proses penghasilan yang kompleks), mempunyai pelbagai jenis nutrien dan mempunyai nilai GI yang rendah.

“Sungguh pun begitu, jangan ambil gula palma secara berlebihan,” nasihatnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI