fbpx

KPDNHEP laksanakan inisiatif awal tangani krisis bekalan gula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melaksanakan stok penimbal gula putih bertapis oleh dua buah kilang memproses gula iaitu Central Sugar Refinery Sdn. Bhd. (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) bermula 1 Januari lalu sebagai inisiatif awal mengelakkan masalah bekalan gula di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu dibuat setelah beberapa kali negara mengalami isu perbekalan gula ekoran daripada pelbagai faktor seperti penutupan kilang, jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja kilang dan kerosakan pada mesin boiler.

Katanya, selaras dengan Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, kedua-dua syarikat telah diarahkan untuk melaksanakan stok penimbal berjumlah 53,000 Metrik Tan (MT) bagi gula putih bertapis pada setiap masa dan hanya digunakan apabila berlaku kekurangan bekalan di sesuatu kawasan selaras dengan Arahan Pengawal Bekalan.

“Pihak KPDNHEP juga mengadakan sesi libat urus dengan kedua-dua syarikat pengeluar utama itu bagi membincangkan dan mencari solusi untuk mengelakkan kejadian kekurangan bekalan gula dalam pasaran berlaku lagi di masa hadapan dan memastikan bekalan gula dalam pasaran domestik sentiasa mencukupi.

“Malah strategi bagi memastikan pengeluaran dan bekalan gula dalam pasaran domestik tidak terjejas juga sudah dirangka melalui tiga strategi yang dilihat bagi mengelakkan masalah bekalan gula di pasaran pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiga mekanisme kawalan stok penimbal pula adalah seperti kuantiti gula pasir putih bertapis disimpan secara stok terapung pada kadar yang ditetapkan selama 11 hingga 15 hari.

Kedua katanya, pemantauan berterusan akan dilakukan berdasarkan pelaporan yang dikemukakan pengilang bagi memastikan kuantiti stockpile (stok simpanan) sentiasa berada pada kadar yang ditetapkan.

“Mekanisme ketiga iaitu kegagalan mematuhi arahan boleh menyebabkan tindakan dikenakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta ringgit atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama atau denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya.

“Pelaksanaan stockpile gula putih bertapis oleh pengilang gula tempatan dijangka dapat membantu mengelakkan gangguan terhadap bekalan gula berlaku di masa akan datang dan sekali gus dapat mengelakkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menaikkan harga atau menyimpan stok gula ketika berlaku krisis gangguan gula,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, penggunaan gula domestik dianggarkan sebanyak 0.65 kilogram (kg) sebulan per kapita dan menjadikan jumlah tahunan yang diperlukan dianggarkan sebanyak 255,450MT setahun bagi keperluan 32.75 juta rakyat Malaysia.

“Bagi pengeluaran kedua-dua syarikat pengilang gula adalah sebanyak 1,500,000MT setahun mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia dan kegunaan industri di Malaysia,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI