fbpx

Bekas Mufti Melaka, Datuk Mohd. Yunus meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Mohd. Yunus yang juga bekas Mufti Melaka meninggal dunia malam tadi.

MELAKA – Bekas Mufti Melaka, Datuk Mohd. Yunus Mohd. Yatim dilaporkan meninggal dunia malam tadi pada usia 93 tahun.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 10.30 malam di kediaman anaknya di Kuala Lumpur.

Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Halim Tawil ketika dihubungi pemberita mengesahkan berita dukacita itu dan menyifatkan ia sebagai satu kehilangan besar dalam pentadbiran Islam di negeri ini.

“Allahyarham adalah seorang tokoh agamawan Melaka yang mempunyai pengalaman sangat luas dalam pentadbiran Islam serta pernah menjadi Kadi Besar Wilayah Persekutuan pada 1970-an.

“Beliau kemudian dilantik menjadi Mufti Melaka pada 1991 sehingga 1999. Beliau seorang yang mempunyai ketinggian ilmu dan berakhlak mulia ketika berkomunikasi dan berurusan dengan masyarakat sepanjang perkhidmatannya,” katanya.

Tambahnya lagi, meskipun telah bersara pada 1999, namun Allahyarham masih meneruskan sumbangannya dalam agama Islam khususnya di Melaka.

Ujarnya, jenazah Allahyarham terlebih dahulu akan dibawa dan disembahyangkan di Masjid Al Wahhab Permatang Duyung sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hang Tuah Duyung, di sini selepas solat Jumaat.

Allahyarham Mohd. Yunus dilahirkan di Kampung Kandang dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kandang serta Sekolah Al-Khairiyah Air Molek sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Al-Nurian Paya Rumput, Sungai Udang.

Beliau dilantik sebagai Kadi Tetap pada 1968 dan memangku jawatan Kadi Besar Melaka pada tahun 1972.

Allaharyam kemudian memegang jawatan Kadi Besar Wilayah Persekutuan selama enam tahun bermula 1974 sebelum dilantik sebagai Mufti Negeri Melaka yang ketiga pada 16 Ogos 1979.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Kalsom Abdul Wahab dan dua anak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI