fbpx

Revolution Stage bolot 7 trofi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN Raja (kanan) bersama produksi Seni Ceritera menang kategori Teater Virtual Terbaik menerusi Sel Akhir.

MALAM Anugerah Teater Malaysia 2022 yang berlangsung di Amphiteater, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Sabtu lalu menyaksikan produksi Revolution Stage menggondol tujuh anugerah.

Selain diberikan Anugerah Pendukung Seni (Sektor Swasta), Revolution Stage turut memenangi enam anugerah lain iaitu Pengarah Terbaik (Rahim Jo/Khairunazwan Rodzy), Pelakon Lelaki Terbaik ( Akmal Asyraf) dan Poster Terbaik menerusi Teater Bangsawan Indie: Raja Bersiong.

Kejayaan turut diraih mereka menerusi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Shasa Fairuz), Pelakon Harapan (Amirah Razak) dan Skrip Asal Terbaik secara keseluruhan menerusi It’s Not Complicated dalam kategori Teater Moden.

Anugerah lain iaitu Bakat Muda Teater dimenangi Lim Mei Fen, pemegang ijazah dalam bidang teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), dan Anugerah Pendukung Seni (badan bukan kerajaan) dimenangi Persatuan Seni Kreatif Budaya Warisan Estetik Pulau Pinang (Sekenet).

Sementara itu, karya daripada Suka Seni, Bantu dan Stage Production memenangi empat anugerah dalam kategori Teater Muzikal, menerusi teater Huminodun: Princess of Nabalu the Musical.

Anugerah lain

Anugerah-anugerah terbabit ialah Pengarah Terbaik yang diungguli Mohd Faizan Deraman, Pelakon Wanita Terbaik (Queennera Francine F Kitingon), Gubahan Lagu Terbaik dan Teater Muzikal Terbaik.

Produksi Semarak Kreatif Sdn Bhd memenangi anugerah Monolog/Monodrama Terbaik dengan Monodrama Adil dan Corona, serta Pelakon Lelaki Terbaik untuk Anding Indrawani Zaini, dan Koreografi Terbaik menerusi teater muzikal Semarak Pertiwiku dalam Kategori Teater Muzikal.

Teater Seorang Tua di Kaki Gunung dalam Kategori Teater Moden produksi Pusat Pengajian Seni USM memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik (Mohd Zamri Salleh), dan Teater Moden Terbaik. Ia juga terpilih sebagai pemenang Sinografi Terbaik secara keseluruhan.

Produksi Kumpulan Seni Makyung USM (Dewan Budaya) pula memenangi dua anugerah, iaitu Pelakon Wanita Terbaik (Nur Liyana Che Mohamad), dan Teater Tradisional Terbaik dalam kategori Teater Tradisional menerusi Teater Makyung Dewa Indera Indera Dewa.

Teater lain yang memenangi dua anugerah ialah Teater Peti Sejuk, iaitu Pengarah Terbaik (Sharifuddin Zainal), dan Pelakon Wanita Terbaik (Christine Jerus).

Sementara itu, Teater Tivi dalam kategori Teater Moden membawa tuah kepada Norhelmi Othman untuk memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Sel Akhir yang turut menampilkan pelakon popular Wan Raja oleh Persatuan Seni Ceritera pula memenangi anugerah Teater Virtual Terbaik.

Semua karya untuk Anugerah Teater Malaysia 2022 anjuran MoTac dan JKKN ini diadili oleh panel juri terdiri daripada Mior Hashim Manap, Hamzah Mohamed Tahir, A Wahab Hamzah, Taufik Ibrahim, Mohd Kamarulzaman Taib@ Che Kem, Ling Ian Christopher, Fasyali Saipul Bahri dan Dr Norzizi Zulkafli sebagai Ketua Juri.

Majlis tersebut turut menyaksikan bekas Ketua Pengarah Istana Budaya, Supiat Mukri dianugerahkan Anugerah Khas Ketua Setiausaha Negara (Tokoh Teater Sepanjang Zaman) Anugerah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTac), Datuk Saraya Arbi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI