fbpx

Ikut ‘waze’ balik rumah rupanya jumpa sekatan JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zailani ketika membuat tinjauan Op Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi malam tadi Foto oleh FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

KUALA LUMPUR – Sesat ikut “Waze” telah membawa seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya menaiki motosikal ditahan di Plaza Tol Sungai Besi, malam tadi.

Remaja perempuan tanpa lesen memandu itu tersebut berkata, dia keluar dari rumah secara curi-curi menaiki motorsikal abangnya untuk ke rumah kawan di Taman Medan, Petaling Jaya.

“Ini kali kedua saya dari rumah di Semenyih pergi ke Taman Medan untuk ke rumah kawan di sana.

“Saya tersesat sebab gunakan ‘waze’ kalau tidak sebelum ini gunakan jalan pintas yang juga lebuh raya untuk pulang ke rumah saya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, dalam tangkapan kesalahan jalan raya yang lain, seorang pemandu Perodua Alza berusia 47 tahun, ditahan tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh 5 tahun lalu.

Alasan yang diberikan, dia sememangnya tidak mahu perbaharui lesen berkenaan kerana jarang memandu dan hanya menggunakan kereta isteri untuk keluar jika perlu.

Ekoran itu, anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan dua notis saman terhadap lelaki berkenaan atas kesalahan dilakukan.

Kedua-dua pemandu antara yang ditahan dalam Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersepadu JPJ di Plaza Tol Sungai Besi, dekat sini, malam tadi.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata, seramai 98 anggota terdiri daripada JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Lebuh Raya Utara -Selatan terbabit dalam operasi itu yang bermula pukul 8 malam hingga 12 tengah malam tadi.

“Dalam operasi itu, sebanyak 2,282 kenderaan pelbagai jenis termasuk bas, van, kereta dan motosikal diperiksa dengan 152 kenderaan diambil tindakan termasuk empat kenderaan disita.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 297 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada cukai jalan atau cukai jalan tamat tempoh yang merekodkan antara kesalahan tertinggi selain kesalahan tiada lesen memandu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar dalam Operasi Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, malam tadi.

Zailani berkata, tiada cukai jalan atau cukai jalan tamat tempoh antara kesalahan utama yang kerap dilakukan pengguna jalan raya bagi semua jenis kenderaan.

Jelas beliau, kebanyakan alasan yang diterima dari pemandu kenderaan melakukan kesalahan itu adalah sama iaitu tidak sedar, atau tidak sempat untuk memperbaharui cukai jalan tamat tempoh.

“Kebanyakan kes juga mendapati ada di antara pengguna jalan raya yang cukai jalan tamat tempoh didapati tidak mempunyai insurans kenderaan.

“Ini sekali gus akan menyusahkan ramai pihak sekiranya berlaku kemalangan terhadap kenderaan itu, oleh itu kita perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan berkenaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI