fbpx

Agong, Raja Permaisuri zahir takziah buat keluarga mantan Ketua Pengarah Penyiaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster ucapan takziah yang dikongsi di laman Facebook Istana Negara

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mantan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Abdullah Mohamed yang telah kembali ke Rahmatullah hari ini.

Istana Negara dalam satu kenyataan di Facebook berkata, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham serta menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar, tabah menghadapi dugaan dalam suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan bersama para solihin.

“Seri Paduka Baginda berdua menyanjung tinggi jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara dan menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada bidang penyiaran dan media negara,” katanya di sini hari ini.

Istana Negara berkata, Abdullah merupakan penerbit televisyen perintis di Malaysia, dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran pada tahun 1975 dan bersara pada tahun 1986.

Antara pencapaian Radio Televisyen Malaysia (RTM) di bawah pentadbirannya ialah pengenalan siaran televisyen berwarna di Malaysia dan peluasan siaran televisyen ke stesen Sabah dan Sarawak.

Selain itu, Allahyarham yang berasal dari Muar, Johor mula berkecimpung dalam bidang penyiaran pada tahun 1954 sebagai juruhebah dan penterjemah.

Kemudiannya berkhidmat di Bahagian Melayu, British Broadcasting Corporation, London dari tahun 1957 hingga 1962.

Beliau yang berusia 91 tahun juga merupakan pengasas dan presiden pertama Persatuan Veteren RTM dan pernah menerima anugerah Tokoh Seri Angkasa pada 2010.

Abdullah juga pernah menerima anugerah NPC-Ambank Media Legend Award 2012 dari National Press Club bagi menghargai sumbangan Allahyarham kepada industri media negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI