fbpx

Rishi Sunak Perdana Menteri Britain ketiga tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUNAK (tengah) melambai semasa tiba di Ibu Pejabat Parti Konservatif di tengah London kelmarin. - AFP

LONDON – Rishi Sunak dipilih sebagai Perdana Menteri Britain ketiga pada tahun ini bagi menggantikan Liz Truss hanya selepas tujuh minggu ketika negara berkenaan berdepan pelbagai masalah.

Sunak menjadi pemimpin baharu parti pemerintah, Parti Konservatif kelmarin selepas pencabarnya, Penny Mordaunt gagal mendapat pencalonan mencukupi daripada wakil rak­yat parti berkenaan, manakala seterunya, Boris Johnson me­ngundur diri secara tiba-tiba.

Pemimpin berusia 42 tahun dan beragama Hindu itu merupakan Perdana Menteri Britain bukan kulit putih pertama dan yang paling muda dalam tempoh lebih 200 tahun.

Sunak memulakan langkah pertama mengambil alih pentadbiran negara dengan menghadap Raja Charles III. Monarki berkenaan menabalkan perdana menteri pertamanya sejak baginda bertakhta, dua hari selepas bondanya, mendiang Ratu Elizabeth II menabalkan Truss.

Truss, 47, mengadakan mesyuarat Kabinet terakhir sebelum membuat kenyataan pengunduran beliau di Downing Street sekitar pukul 10.15 pagi (waktu tempatan) semalam, diikuti oleh ucapan Sunak sejam kemudian.

Truss meletak jawatan sebagai Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah Britain selepas melaksanakan bajet potongan cukai yang mencetuskan krisis ekonomi dan politik.

Apabila mengambil alih pentadbiran Britain, Sunak ‘mewarisi’ krisis serius terutamanya lonjakan kadar inflasi, kos pinjaman melambung tinggi dan kegawatan ekonomi. 

Selepas ucapan pertama beliau sekitar pukul 11.35 pagi (waktu tempatan) di luar Downing Street, Perdana Menteri Bri­tain kelima dalam tempoh enam tahun itu akan melantik Kabinet baharunya sebelum berdepan sesi pertama ‘Tanya Kepada Perdana Menteri’ di Parlimen hari ini.

Sunak yang berasal daripada keturunan imigran kaya-raya dari India dan Afrika Timur, turut berdepan gesaan untuk me­ngadakan pilihan raya umum. Beliau merupakan pemimpin Britain terbaharu tanpa mandat terus daripada rakyat.

Kaji selidik oleh firma Ipsos kelmarin mendapati bahawa le­bih 62 peratus pengundi Britain mahu pilihan raya umum diadakan menjelang akhir tahun ini.

“Beliau (Sunak) tiada mandat, tiada jawapan dan tiada idea,” kata timbalan ketua Parti Buruh, Angela Rayner dalam komen di laman Twitter.

Pilihan raya umum seterusnya hanya perlu diadakan pada Ja­nuari 2025, manakala parti-parti pembangkang tiada cara untuk memaksanya lebih awal melainkan mendapat sokongan daripada berpuluh-puluh ahli Parlimen Parti Konservatif. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI