fbpx

Sempat ajar Nawi mengucap – Rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anak-anak pasangan yang terkorban di pusara ibu bapa mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan, Ipoh hari ini.

IPOH – “Suami sempat ajar Nawi (Azranawi Radzi) mengucap dan dia menghembuskan nafas terakhirnya di depan suami.”.

Demikian kata Gee, 49, ketika menceritakan mengenai kejadian yang menimpa rakannya, arwah Azranawi, 42, yang maut dalam nahas jalan raya bersama isterinya di Lenggong semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang di Kilometer 32.3, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, arwah Azranawi maut di lokasi kejadian manakala isterinya, Rosnah Ahmad, 44, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lenggong.

Kejadian berhampiran Pusat Rekreasi Lata Kekabu itu melibatkan skuter jenis KYMCO yang ditunggang pasangan suami isteri tersebut dan sebuah kereta jenis Proton Iswara.

Menurut Gee, kejadian berlaku ketika dia dan suaminya, Raja Shaharuddin, 53, bersama dua motosikal lain termasuk mangsa berkonvoi dari arah Gerik menghala ke Ipoh.

Cerita wanita itu, mereka sepatutnya singgah makan di sebuah restoran terkenal di Lenggong sebelum mendapati berlaku kemalangan rupa-rupanya melibatkan rakan sendiri.

“Skuter ditunggang Nawi dan Ros berada paling hadapan. Kami merancang singgah makan di Tasik Raban kira-kira 200 meter dari lokasi kemalangan.

Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat dlaam kemalangan di Lenggong, Perak petang kelmarin.

“Ketika menghampiri lokasi kejadian, saya nampak ada kemalangan dan minta suami memperlahankan motosikal. Semasa melalui lokasi kemalangan, saya terkejut melihat kasut berwarna oren di atas jalan.

“Saya tahu kasut itu milik Nawi dan Ros. Saya segera turun daripada motosikal dan nampak Ros terperosok di bawah penghadang jalan.

“Suami saya segera menghampiri Nawi dan mengajarnya mengucap kalimah syahadah, dia (arwah) menghembuskan nafas terakhirnya di depan suami,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Menurut Gee, mereka berkonvoi tiga buah motosikal dan masuk ke Betong, Thailand kelmarin sebelum kembali ke negara ini melalui Gerik pada pukul 4 petang semalam.

Pasangan suami isteri yang suka bersedekah dan mempunyai perniagaan pulut ayam itu kerap ke Thailand untuk membeli barang-barang untuk jualan.

Pasangan suami isteri itu meninggalkan empat anak yang masih bersekolah iaitu Muhaimin Anas, 16, Muhammad Darwisy Imran, 14, Maher Uzair, 9, dan Miftahul Nurjannah, 7. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI