fbpx

Tular cuaca buruk luar biasa hujung Oktober, tidak sahih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau laporan mengenai jangkaan berlakunya cuaca buruk luar biasa pada penghujung Oktober ini seperti yang tular di media sosial.

Melalui pemantauan terkini katanya, keadaan cuaca di Malaysia sedang dipengaruhi oleh penumpuan angin di Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah sehingga penghujung bulan Oktober.

“Keadaan tersebut berpotensi menyebabkan keadaan cuaca lembap di kebanyakan negeri.

“Sehubungan itu, MetMalaysia telah mengeluarkan ramalan cuaca signifikan, semalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, ia berdasarkan analisis model MetMalaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS).

“Ia menunjukkan penumpuan angin yang sedang berlaku di Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah dijangka berlanjutan sehingga penghujung bulan Oktober 2022.

“Keadaan ini berpotensi menyebabkan pembentukan awan ribut petir yang boleh membawa hujan lebat dan angin kencang pada sebelah petang hingga awal malam di kebanyakan negeri di Semenanjung, utara Sarawak, barat Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Pada masa sama katanya, satu sistem tekanan rendah terbentuk di timur Filipina dan dijangka bergerak ke arah barat dan barat laut menjauhi rantau negara.

“Walau bagaimanapun, kewujudan sistem ini memberi sedikit kesan terhadap keadaan laut.

“Oleh itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama telah dikeluarkan pada 12.30 tengah hari ini dengan kelajuan angin antara 40 hingga 50 kilometer sejam dan ketinggian ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di kawasan perairan Condore, Reef North dan Layang-Layang dalam tempoh Khamis, 27 Oktober 2022 sehingga Ahad, 30 Oktober 2022,” katanya.

Katanya, MetMalaysia akan terus memantau dan memaklumkan perubahan cuaca signifikan dari masa ke semasa.

“Maklumat sahih berkenaan ramalan dan amaran cuaca boleh dicapai melalui laman web MetMalaysia iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi serta Hotline di talian 1-300-22-1638.

“Sebarang penyebaran maklumat berita palsu dan tidak sahih boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI