PETALING JAYA – Hampir 10 tahun hidup dalam ‘dunia dosa’ dengan menggunakan khidmat bomoh bagi menundukkan suami sendiri demi kepentingan diri sebagai isteri kedua.
Pengakuan itu dibuat oleh seorang usahawan emas yang mahu dikenali sebagai Syarifah.
Katanya, tindakan itu bermula apabila suaminya lebih memberi perhatian terhadap isteri pertama sewaktu wanita berkenaan sedang hamil.
“Angkara rasa cemburu dengan madu, saya sanggup mendapatkan khidmat bomoh di negara seberang untuk menundukkan suami agar kasih sayang serta perhatiannya hanya untuk saya seorang,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Wanita yang berusia 43 tahun itu memberitahu, dia sedar perkahwinannya bersama suami adalah atas perancangan madunya sendiri yang juga rakan baiknya dalam dunia perniagaan.
“Madu saya adalah kawan bisnes saya dan dia yang bersungguh-sungguh ingin kahwinkan suaminya untuk saya kerana sudah lima tahun mereka berkahwin, tetapi masih tiada anak.
“Disebabkan rasa terhutang budi terhadapnya yang selalu tolong saya dalam bisnes, saya akhirnya terima dan dengan izin Allah, enam bulan selepas itu, dia hamil,” kongsinya.
Katanya, sejak itu suaminya seolah-olah memberi keutamaan kepada isteri pertama berbanding dirinya sehingga pernah suatu ketika lelaki itu tidak pulang ke rumah selama dua minggu kerana bersama madunya.
“Sebabkan cemburu, dengki dan iri hati, semuanya boleh jadi musuh, saya dapatkan minyak pengasih untuk menundukkan suami supaya sentiasa akur dengan permintaan saya selain membuatkan dia semakin lupa isteri pertama.
“Dua tahun lalu, suami akhirnya ceraikan isteri pertama atas permintaan saya.
“Awal tahun lalu, saya sendiri mendapat balasan atas perbuatan jahat ini apabila saya jatuh sakit,” katanya.
Sementara itu, seorang pegawai bank yang mahu dikenali sebagai Amirul, 45, pula serik untuk bermain cinta dengan wanita muda.
Katanya, niat untuk beristeri dua akhirnya dilupakan apabila wanita yang berusia 20-an tersebut sering mengugut dirinya dengan video-video romantik mereka selain pernah cuba untuk membunuh diri apabila dia tidak membalas mesej kekasihnya itu.
“Saya sendiri tidak tahu nak buat apa, awalnya memang ada niat untuk berkahwin, tetapi sikap dia semakin hari makin pelik sehingga buatkan saya bosan dan tidak boleh terima untuk dijadikan isteri.
“Saya cuba elakkan diri untuk berjumpa atas alasan sibuk bekerja, dan ada masa saya tak balas mesej dia, namun dia ugut untuk sebarkan video-video kami di media sosial dan paling teruk pernah nak bunuh diri,” katanya.
Bercerita lanjut, Amirul memberitahu, hubungannya bersama wanita tersebut adalah secara diam-diam tanpa pengetahuan isterinya.
“Biasalah orang lelaki dia fikir kuota ada empat, jadi tidak salah untuk cari yang kedua, ketiga dan keempat, tetapi kejadian yang berlaku sekarang ini membuatkan saya serik dan tidak mahu berkahwin dua,” ujarnya.
Tambah Amirul, dia kini dalam proses untuk menjauhkan diri daripada wanita tersebut.
Bagaimanapun, dia masih memikirkan cara terbaik agar kedua-duanya dapat menjalani kehidupan masing-masing dengan lebih tenang.














