fbpx

TNB sedia hadapi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan 'genset' TNB sentiasa siap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa apabila diperlukan dalam membendung impak banjir kepada rakyat di kawasan terjejas.

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir dalam usaha memastikan soal pengurusan bekalan tenaga elektrik teratur dan berkesan.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian (Chief Distribution Network Officer) TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, persiapan itu juga penting bagi meminimumkan kerosakan pepasangan demi mengutamakan keselamatan orang awam.

“Seperti biasa setiap kali menjelang musim tengkujuh, TNB membuat latihan demi latihan supaya anggota kerja sentiasa berada dalam keadaan siap siaga serta memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing apabila berlaku banjir.

“Lebih 2,500 orang daripada Bahagian Rangkaian Pembahagian telah disenaraikan untuk menganggotai Pasukan Kecemasan Keselamatan yang akan bertugas 24 jam bagi melakukan kerja-kerja segera di kawasan berlaku gangguan akibat bencana berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu katanya, bantuan logistik di lokasi-lokasi yang sering dilanda banjir juga sudah disiapkan termasuk 296 set janakuasa bergerak, 227 set janakuasa kecil mudah alih 5kW/2.5kW, 279 lori, 885 kenderaan pacuan empat roda, 38 bot dan 108 lampu limpah.

“TNB bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah serta akan membuka bilik-bilik gerakan di negeri-negeri yang terbabit banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik.

“Pusat-Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang dikenal pasti turut diperiksa bagi memastikan bekalan elektriknya berada dalam keadaan baik,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati menggunakan peralatan elektrik dan suisnya ketika suasana banjir terutama premis yang dinaiki air.

“Jangan menyentuhnya dengan tangan basah dan lembap kerana boleh menyebabkan renjatan elektrik. Selepas banjir surut pula, pemeriksaan menyeluruh pendawaian premis perlu dilakukan oleh kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memastikan ia selamat digunakan.

“Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan lanjut,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI