fbpx

KPDNHEP jamin bekalan telur pulih hujung bulan ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roziah (tiga dari kanan) meninjau bekalan telur di Pasaraya Mydin, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan gangguan bekalan telur di seluruh negara akan pulih hujung bulan ini.

Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Roziah Abudin berkata, kekurangan itu berpunca daripada penutupan 21 ladang berskala kecil yang didapati tidak efisien.

Katanya, bagi menangani isu tersebut, KPDNHEP telah memberi modal kepada syarikat-syarikat besar bagi meningkatkan pengeluaran mereka, sekali gus dapat menampung kekurangan bekalan telur di pasaran.

“Usaha kerajaan menaikkan subsidi daripada tiga sen kepada lapan sen bagi telur Gred A, B dan C juga menjadi salah satu faktor mendorong syarikat-syarikat besar dapat meningkatkan pengeluaran untuk pasaran tempatan.

“Bekalan dijangka pulih dalam masa terdekat ini kerana jaminan sama turut diberikan oleh salah satu pengeluar utama iaitu syarikat Huat Lai di Merlimau, Jasin untuk meningkatkan pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Perayaan (SHMP) Deepavali di Pasaraya Mydin, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambahnya, bekalan telur sememangnya ada, namun tidak mencukupi mengikut tempahan dibuat dengan pengurangan antara lima hingga 10 peratus.

Mengulas lanjut, Roziah berkata, sehingga kini pihaknya masih menerima aduan di seluruh negara mengenai kekurangan bekalan telur di peringkat runcit.

“Permintaan bekalan telur dilihat terus meningkat secara mendadak daripada pihak industri selepas semua sektor kembali pulih daripada ancaman pandemik Covid-19.

“Justeru, KPDNHEP akan terus memantau penggunaan telur di peringkat mereka dan peniaga kedai makan, memandangkan penggunaan bagi isi rumah tidak meningkat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`. This does not appear to be a valid RSS or Atom feed.