fbpx

Bekalan telur ayam di Pulau Pinang masih cukup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang memberi jaminan bekalan telur ayam di negeri ini masih mencukupi meskipun ada yang menerima antara 50 hingga 60 peratus sahaja buat masa ini.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, isu kekurangan bekalan protein termurah itu berlaku disebabkan masalah aturan penghantarannya yang berbeza di peringkat pemborong.

Menurutnya, ketika ini juga, masalah bekalan telur ayam hanya dikesan berlaku di peringkat peruncit sahaja dan bukannya pemborong.

“Ada (peruncit) yang terima aturan (penghantaran bekalan telur ayam) dalam seminggu hanya sekali sahaja. Jadi, kalau anda pergi (beli) sekarang dah habis, mungkin dua hari berikutnya akan cukuplah (bekalan baharu).

“Mungkin jumlah telur yang cukup ini tak sama 100 peratus seperti sebelum ini tapi ia masih mencukupi di peringkat peruncit.

“Pemborong ini cukup (bekalan telur ayam) tapi mungkin dia tak hantar semua (buat masa ini). Dia kawal (penghantaran),” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jegan memberitahu, sebanyak 409 premis telah diperiksa sempena Ops Terjah yang dilaksanakan antara 16 Disember lalu hingga semalam bagi mengenal pasti isu bekalan dan harga barangan asas di negeri ini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, 337 daripada premis tersebut mempunyai bekalan telur ayam yang mencukupi, 23 premis kurang bekalan manakala selebihnya tidak menerima bekalan buat masa ini.

“Kita yakin bekalan (telur ayam) ketika ini mencukupi dan berharap ia kekal hingga musim perayaan (Tahun Baharu Cina) nanti,” ujar beliau.

Tambahnya, selain telur ayam, pemeriksaan juga dijalankan terhadap bekalan ayam, gula, minyak masak serta tepung gandum dan rata-ratanya mendapati kesemua barangan itu adalah mencukupi ketika ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI