PETALING JAYA – Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) disifatkan wajar kerana telah meletakkan pendidikan negara di landasan yang betul.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pertubuhan Ikram Malaysia, Prof. Omar Yaakob berkata, sehubungan itu dua peperiksaan berkenaan tidak perlu diadakan semula sebaliknya
Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengukuhkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang kini menjadi tunjang dalam menilai para pelajar.
“Sistem pendidikan negara kini menuju haluan yang tepat seiring dengan hasrat untuk mengurangkan pembelajaran berorientasi peperiksaan.
“Lebih baik seperti ini. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kalau nak toleh kebelakang semula, saya tidak setuju,” katanya.

Pandangan sama disuarakan Timbalan Pengarah Pembangunan Program dan Pemasaran Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jamalul Lail Abdul Wahab yang memberitahu, peperiksaan yang terlalu berlebihan akan memberi kesan tambahan tidak baik kepada pelajar.
Menurutnya, pemansuhan UPSR, PT3 wajar dikekalkan sekali gus memberi ruang kepada sistem pendidikan negara untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang daripada segi intelektual tetapi kemahiran.
“Tidak semua pelajar cemerlang dari segi intelektual, ada yang lebih kepada kemahiran. Jadi pelajar yang bagus kemahiran tidak dapat tonjolkan potensi mereka sekiranya kita hanya fokus pada peperiksaan.
Berita berkaitan: Belajar 10 tahun baru ambil SPM
Berita berkaitan: Ibu bapa mahu peperiksaan besar, sukar nilai pencapaian anak
“Kita mahu sistem pendidikan dapat mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh seiring dengan falsafah pendidikan kebangsaan,” ujarnya.
Mengulas berhubung PBS, katanya, KPM dan juga pentadbir perlu mengambil peranan proaktif dalam membantu guru-guru untuk melaksanakan PBD dengan lebih berkesan.
“Untuk melatih guru-guru ini kita tahu ambil masa yang lama tetapi KPM dan pentadbir tidak boleh ambil lewa. Kena cari inisiatif untuk para guru,” jelasnya.














