fbpx

Rasai kedamaian dampingi alam di Pantai Cunang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PANTAI CUNANG pada asalnya merupakan hutan paya bakau sebelum kini dijadikan sebagai tempat pelancongan.

PASIR pantai memutih bak salji, bunyi ombak laut memukul pantai serta tiupan angin laut lembut merupakan kombinasi alam yang cukup mendamaikan.

Mungkin ramai tidak tahu, di sebalik Perkampungan Orang Asli suku Mah Meri yang terletak di Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor itu, terdapat sebuah pantai cantik dikenali sebagai Pantai Cunang.

Pada asalnya, kawasan itu hanya merupakan sebuah hutan paya bakau, sebelum ia dibersihkan dan dijadikan lokasi pelancongan menarik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Tanjung Sepat, Sarimah Jamil berkata, lokasi tersebut dahulunya digunakan oleh penduduk setempat sebagai lokasi percutian mereka.

“Sebelum ini, penduduk kampung yang menjumpai kawasan ini telah menjadikannya sebagai pusat transit bagi para nelayan tempatan.

“Sebenarnya, kami mahu menjadikan kawasan ini sebagai tempat melepas lelah dan beriadah bersama anak-anak serta ahli keluarga.

“Kini, ia telah dijadikan tempat pelancongan yang boleh dikunjungi oleh orang ramai bagi merasai sendiri suasana tinggal di kampung Orang Asli,” ujarnya.

Pasir bersih dengan pemandangan mendamaikan semestinya menjadikan Pantai Cunang sebagai salah satu lokasi rekreasi pilihan untuk dikunjungi.

Bagaimanapun, kawasan tersebut hanya dilengkapi dengan kemudahan asas utama iaitu air.

PENGUNJUNG boleh melakukan pelbagai aktiviti termasuk berbasikal di sekitar Pantai Cunang.

Kawasan tersebut tidak mempunyai bekalan elektrik dan penduduknya bergantung kepada penjana elektrik bagi menghidupkan lampu pada waktu malam.

Terdapat dua unit tandas yang boleh digunakan oleh orang ramai di situ. Salah satu daripadanya dibina pihak Majlis Daerah Kuala Langat dan sebuah lagi dibangunkan sendiri oleh Orang Asli di situ.

Ujar Sarimah, keadaan tersebut membolehkan pengunjung merasai sendiri pengalaman tinggal di sebuah kampung yang jauh dari kesibukan kota.

Di Pantai Cunang, penduduknya membenarkan orang luar menginap di situ. Bagaimanapun, pengunjung perlu membawa khemah sendiri dan tinggal di sekitar kawasan pantai sahaja.

Lazimnya, lokasi tersebut penuh dengan pengunjung terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik di Pantai Cunang seperti barbeku bersama keluarga, berbasikal dan memancing.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai barangan buatan tangan yang dihasilkan penduduk kampung di sekitar Tanjung Sepat.

Menariknya, penduduk kampung masih menggunakan kaedah tradisional dalam penghasilan produk seperti kopi dan kuih bahulu.

Jelas Sarimah, ramai yang menyangka pantai tersebut sudah ditutup berikutan pandemik Covid-19.

Katanya, carian di dalam google juga menunjukkan bahawa Pantai Cunang telah ditutup.

“Sebenarnya, ia masih dibuka seperti biasa. Lokasi pantai yang dikatakan telah ditutup itu bukan tempat kami,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI