fbpx

Aktif berceramah di sekolah, popular di TikTok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Haim Hilman

DILAHIRKAN dalam keluarga miskin dan serba kekurangan sama sekali tidak pernah melunturkan semangat Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah untuk bangkit mengubah nasib diri.

Lelaki berusia 49 tahun itu sentiasa percaya bahawa menerusi pendidikan yang baik, beliau mampu membawa keluarga dan dirinya keluar daripada kepompong kemiskinan.

Hasil kerja keras selama beberapa tahun, Haim Hilman berjaya sampai ke puncak menara gading serta menggenggam ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana dari universiti seberang laut sebelum meraih ijazah doktor falsafah (PhD) di dalam negara.

Kini, beliau boleh berbangga apabila menjawat jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) sejak Januari tahun ini, selepas lebih dua dekad berbakti di universiti berkenaan.

Malah, Haim Hilman juga berjaya meraih populariti dalam media sosial terutama TikTok selepas video-video pendeknya memberi motivasi dan semangat kepada pelajar sering tular.

Sehingga kini, pengikutnya di TikTok telah mencecah angka 178,800 dengan jumlah tontonan keseluruhan video sekitar 41.5 juta.

“Saya dilahirkan dalam keluarga susah, ibu bapa saya hanya penoreh getah. Tiada siapa yang boleh mengubah nasib kami keluarga kecuali cemerlang dalam pendidikan.

“Selepas berjaya, saya terpanggil membantu anak-anak di luar bandar dengan memberi motivasi kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya kepada K2.

Video-video perkongsian motivasinya di media sosial terutama TikTok mengagumkan ramai netizen. Seorang netizen dengan nama Ajohnajona menciap: Yang perlukan kata-kata semangat, motivasi, boleh buka TikTok Haim Hilman. Kalau tidak terkesan dengar dia cakap, tidak tahulah.

“NC UUM ikut trend. Pandai dia gunakan TikTok untuk sebar kebaikan dan inspirasi. Steady Prof. Haim Hilman,” tulis seorang netizen lain, Azry Syamil.

Mengulas mengenai perjalanannya dalam mencapai kejayaan, Haim Hilman berkata, ia tidak semudah disangka ramai. Pelbagai rintangan terpaksa ditempuhi dek kemiskinan keluarga.

Selepas darjah enam, Haim Hilman berjaya mendapat tempat di sekolah berasrama penuh ekoran keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.

Bagaimanapun, dia tidak dapat masuk ke sekolah berasrama penuh kerana masalah kewangan. Jadi, dia terpaksa meneruskan pengajian di sekolah harian biasa.

Menurut lelaki berasal dari Hulu Selangor itu, dia melalui zaman sekolah menengah yang cukup sukar apabila terpaksa belajar serta bekerja.

Jelasnya, selepas bapanya meninggal dunia ketika dia berusia 13 tahun, dia terpaksa menggalas tugas sebagai ketua keluarga dengan membantu ibu mengambil upah menoreh getah di kebun orang.

“Selepas balik sekolah, saya terus ke kebun getah untuk menoreh sehingga azan maghrib. Ketika itu, hidup kami sangat susah. Hendak pergi sekolah pun tidak ada duit tambang bas.

“Saya masih ingat lagi, saya pakai baju Melayu yang sama ke sekolah dari tingkatan satu hingga lima. Lengan baju dan kaki seluar sudah senteng pun saya masih pakai,” ceritanya.

Selepas tingkatan lima, dia memilih bekerja terlebih dahulu di ibu kota bagi membantu keluarga. Pada masa sama, dia meneruskan pengajian diploma secara sambilan di sebuah kolej swasta.

Setelah meraih diploma jurusan akaun dan kewangan, dia berjaya mendapat pekerjaan sebagai kerani. Bagaimanapun, keinginan Haim Hilman untuk terus belajar ke peringkat tertinggi tidak pernah luntur.

Pada tahun 1996, sewaktu berusia 26 tahun, dia nekad ke United Kingdom (UK) bagi meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Bisnes di University of Portsmouth.

Menariknya, Haim Hilman ke luar negara dengan wang simpanan sendiri serta sumbangan daripada ahli keluarga dan lembaga zakat.

“Masa itu, kalau hendak masuk ke UK kena ada sekitar RM40,000. Wang saya tidak cukup lagi RM15,000, mujur ada bapa saudara bantu cukupkan.

“Persiapan saya ke sana juga sederhana. Saya beli baju sejuk di satu kedai bundle Chow Kit (Kuala Lumpur). Saya masih ingat, penjual itu beri diskaun pada saya selepas tahu niat ingin sambung belajar.

“Penjual itu pesan belajar rajin-rajin, nanti boleh bantu orang susah. Sebelum berlepas ke UK, ibu ingatkan saya supaya jangan sesekali melupakan Allah SWT ketika di perantauan kerana itu sahaja tempat bergantung harap,” katanya dalam nada sebak.

Sewaktu di UK, Haim Hilman terpaksa belajar sambil melakukan beberapa kerja seperti menjaga kedai dobi serta memproses sampah bagi menampung perbelanjaan pengajian dan menghantar wang kepada ibu dan adik di kampung.

HAIM HILMAN tidak kekok untuk duduk bersama-sama dengan anak-anak muda.

Hasil kerja kerasnya serta bantuan kewangan daripada beberapa pihak, dia akhirnya berjaya membawa pulang ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana bidang pengurusan bisnes pada tahun 2000.

“Sebelum saya pulang ke tanah air, saya sempat berkenalan dengan seorang rakyat tempatan di masjid selepas solat Jumaat. Dia yang minta saya isi borang menjadi pensyarah UUM.

“Selepas proses temu bual di London, saya diterima menjadi pensyarah. Saya amat bersyukur dapat menjadi pendidik, sebelum ini memang ada simpan hasrat jadi guru, tetapi Allah takdirkan saya jadi pensyarah,” ujarnya.

Sepanjang dua dekad di UUM, Haim Hilman berjaya menjawat beberapa jawatan penting termasuk dekan.

Bagaimanapun, pada tahun 2018, setelah tidak menjawat jawatan dekan, lembaran baharu bermula dalam hidup Haim Hilman apabila berpeluang mengisi masa terluang dengan memberi ceramah motivasi ke sekolah-sekolah di luar bandar.

“Ada satu kejadian saya tidak boleh lupa sepanjang memberi ceramah di sekolah-sekolah. Saya perasan, ada seorang murid perhati saya dari awal sampai masuk ke kereta untuk pulang.

“Jadi, saya turun kereta dan bertanya khabar. Dia beritahu, ibu bapanya telah tiada dan tinggal bersama nenek. Saya tanya dia, apa boleh saya bantu.

“Dia minta bersalaman dengan saya kerana ingin rasa tangan orang pandai. Momen itu buat hati saya tersentuh sehingga menitiskan air mata. Selepas kejadian itu, saya sedar diri ini terlalu jauh daripada masyarakat,” katanya.

Kejadian tersebut telah menimbulkan keazaman kepadanya untuk menjadi seseorang yang boleh digelar ‘profesor rakyat’ dengan membantu seramai mungkin anak bangsa berjaya terutamanya dalam dunia pendidikan.

Haim Hilman mahu menjadi profesor yang mendekati masyarakat, bukan sekadar duduk di pejabat dan kampus.

Meskipun berjaya kembali memegang jawatan penting, namun Haim Hilman tetap ‘turun’ ke sekolah-sekolah di luar bandar bagi memberi motivasi kepada para pelajar.

“Saya suka ke sekolah-sekolah di luar bandar. Ia mengingatkan kembali waktu susah saya dahulu. Dengan sedikit kelebihan dipinjamkan Allah SWT ketika ini, saya ingin berikan kembali kepada masyarakat,” ujarnya.

Mengenai penglibatan dalam media sosial terutama TikTok, Haim Hilman berkata, ia hasil cetusan idea pihak pejabat komunikasi korporat UUM.

Jelasnya, pihak komunikasi korporat ingin berkongsi video-video pendek ucapannya pada majlis-majlis di dalam UUM yang difikirkan mampu memberi manfaat kepada orang ramai.

“Video saya mula tular sewaktu berucap ketika majlis konvokesyen UUM pada tahun lalu. Selepas itu, makin banyak video dimuat naik dan ia mendapat maklum balas baik daripada netizen,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI