fbpx

Ibu bapa diminta buat aduan jika sekolah anjur aktiviti luar ketika suhu lebih 35 Celsius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina.

SEREMBAN –  Ibu bapa diminta untuk menyalurkan aduan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) jika terdapat sekolah menjalankan aktiviti luar termasuk merentas desa dan sukan ketika suhu semasa melebihi 35 darjah Celcius bagi tiga hari berturut-turut.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap aduan yang diterima itu akan diambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati berasas.

“Aduan tersebut perlulah dibuat secara rasmi supaya siasatan sepenuhnya dapat dilakukan. Memang KPM galakkan ibu bapa membuat aduan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menghadiri Kem Generasi Madani (GenMadani) Pemimpin Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dilaporkan berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan sekolah seluruh negara mempunyai kuasa autonomi untuk menangguhkan sebarang aktiviti luar sekiranya suhu semasa melebihi 35 darjah Celcius bagi tiga hari berturut-turut.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pihak kementerian sangat tegas dalam isu berkenaan dan meminta setiap garis panduan yang ditetapkan dapat dipatuhi oleh pihak sekolah.

“Pada masa yang sama, KPM juga akan merujuk kepada status cuaca panas yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Garis panduan itu haruslah dipatuhi sepanjang masa. Setakat ini KPM belum menerima sebarang aduan mengenai perkara ini,” katanya lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai program GenMadani, Fadhlina berkata, program tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk mengukuhkan kepemimpinan dalam kalangan pelajar.

Kem Generasi Madani (GenMadani) bertujuan untuk melahirkan pemimpin murid SMKA yang mempunyai identiti nasional berkonsepkan Malaysia Madani.

Seramai 256 orang murid daripada 61 buah SMKA seluruh Malaysia menyertai kem tersebut dan mereka terdiri daripada Ketua Umum, Penolong Ketua Umum, Ketua Badar dan Penolong Ketua Badar di sekolah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI