fbpx

Inovasi penapis air guna biojisim kelapa sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAIK SAN telah mendaftarkan AquaPod di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

SUNGAI merupakan satu anugerah Tuhan yang amat bernilai dan mempunyai fungsinya tersendiri kepada kehidupan.

Bagaimanapun, banyak sungai di dunia telah dicemari dengan sisa buangan sehingga memberi kesan kepada kualiti airnya.

Malah, kajian mendapati bahawa sebanyak 53 peratus daripada air sungai di negara ini diklasifikasikan sebagai tercemar.

Keadaan tersebut secara tidak langsung memberi kesan kepada gangguan bekalan dan kemerosotan kualiti air minuman.

Justeru, kaedah penjerapan tinggi untuk menghasilkan karbon aktif amat diperlukan bagi menulenkan air tercemar.

Sehubungan itu, Ketua Laboratori Biopolimer dan Bahan Terbitan, Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Datuk Dr. H’ng Paik San telah membangunkan inovasi AquaPod.

Ia adalah alat penapis air mudah alih ultra bagi membekalkan air tulen bagi kegunaan harian.

Menurutnya, AquaPod merupakan inovasi mesra alam yang dihasilkan daripada tempurung kelapa sawit.

“Karbon aktif berstruktur liang mikro yang dihasilkan daripada tempurung kelapa sawit ini menyumbang kepada sifat penjerapan tinggi.

“Penggunaan karbon aktif berliang mikro yang disintesis daripada biojisim sawit ini juga dapat menyingkirkan logam berat, klorin dan mikroorganisma daripada air.

“Keadaan ini secara tidak langsung membolehkan masyarakat menikmati bekalan air paip yang lebih jernih dan tidak berbau,” katanya.

Inovasi tersebut dihasilkan melalui dua kaedah iaitu pengaktifan fizikal berterusan dua peringkat dan rawatan ultrasonik.

Alat penapis AquaPod mampu menulenkan air tercemar bagi kegunaan harian.

Kedua-dua kaedah tersebut dapat membantu menyingkirkan kandungan silika dalam kuantiti tinggi serta menghasilkan karbon aktif yang kebanyakannya terdiri daripada liang mikro.

Dalam pada itu, Paik San menjelaskan, inovasi AquaPod dapat memberi sumbangan besar kepada Malaysia melalui pengurusan sumber lebih cekap dan bebas daripada sisa serta meningkatkan kualiti pengurusan.

“Melalui proses pembaharuan rawatan bersepadu, tempurung kelapa sawit yang biasanya digunakan sebagai produk berkualiti rendah seperti arang serta baja boleh ditukar menjadi produk berkualiti tinggi. Ia sekali gus dapat menyumbang kepada ekonomi sosial,” terangnya.

Pendekatan proses baharu melalui rawatan bersepadu didapati menghasilkan karbon teraktif gred komersial dengan luas permukaan tinggi.

Ia juga mengandungi keseluruhan 80 peratus permukaan mikropori yang menunjukkan penjerapan sangat tinggi dengan menggunakan suhu pengaktifan rendah.

Menariknya, inovasi tersebut telah didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

Projek berkenaan dibangunkan dengan menggunakan dana Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau 2021/2022 daripada Kerajaan Negeri Selangor, Geran Penyelidikan Fundamental (Pusat Kecemerlangan Institusi Tinggi) serta Geran Pendanaan Anatarabangsa (EVC Management Pty Ltd).

Dalam pada itu, Paik San berharap, pihaknya dapat terus berkolaborasi dengan rakan-rakan industri bagi membawa hasil penyelidikan tersebut ke pasaran supaya boleh dinikmati oleh masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI