fbpx

Pernah murung, Along Eyzandy bangkit demi keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Along kembali aktif berlakon sejak enam bulan lalu selepas berehat usai menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada April 2021.

KUALA LUMPUR – Pelakon Along Eyzendy mendedahkan pernah mengalami kemurungan atau anxiety hingga terpaksa tinggal di rumah ibunya buat sementara waktu untuk mengelak daripada melampiaskan amarah terhadap anak-anak.

Katanya, berdepan penyakit buah pinggang selain tidak dapat bekerja disebabkan kondisi kesihatan mencetuskan impak kepada emosi yang sukar dijangkakan.

“Saya disahkan mengalami masalah buah pinggang rosak pada 2019 selepas melakukan pemeriksaan kesihatan ketika umur saya genap 40 tahun.

“Waktu itu dunia saya rasakan gelap kerana ia datang tiba-tiba membuatkan sikap saya berubah 180 darjah terutama menjadi cepat emosi.

“Daripada sihat bertukar sakit serta hanya dapat duduk di rumah antara faktor yang memberikan tekanan. Semua rasa bercampur, takut, risau, sedih dan marah bersatu hingga kerap mengalami serangan panik.

“Saya tak mahu anak-anak lihat ayah mereka bertarung tekanan atau menjadi tempat saya melepaskan marah, jadi selepas berbincang dengan isteri saya ambil keputusan tinggal di rumah ibu saya buat sementara,” katanya kepada Kosmo! Online.

Begitupun, kata pemilik nama lengkap Mohd Eyzendy Mohd Aziz itu, keadaan turun naik emosi hanya dilalui dalam tempoh lebih kurang sebulan berikutan sokongan insan sekeliling.

“Saya bertuah dikelilingi keluarga terutama isteri, Hamidah Mohd. Yatim dan kawan-kawan yang sangat prihatin serta tidak putus memberikan sokongan moral pada ketika saya berada pada titik terendah dalam hidup.

“Ibu serta tiga anak saya pun antara penguat semangat. Mujur serangan panik dan rasa murung yang saya rasai tidak terus berlanjutan. Biarpun tinggal berasingan, kami kerap berjumpa.

“Selepas sebulan saya balik semula ke rumah yang sebenarnya tak jauh pun dari rumah emak. Alhamdulillah, tiga tahun berlalu, kami sekeluarga berjaya melalui situasi getir itu bersama-sama,” katanya lagi.

Menerima buah pinggang baharu daripada isteri tercinta pada April 2021, Along sudah kembali aktif di lokasi penggambaran sejak enam bulan lalu, namun belum boleh melakukan babak lasak.

“Sebenarnya saya baharu saja tampil dalam pementasan teater Nyonya arahan Dr Rosminah Tahir di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

“Boleh dikatakan sepanjang latihan serta persembahan dua malam berturut-turut stamina saya dalam keadaan baik. Kiranya saya mampu beraksi asalkan jaga makan, ambil air mencukupi dan dapatkan rehat.

“Mungkin ramai sangka saya tak lagi berlakon selepas pembedahan, syukur saya dapat lagi cari rezeki dalam bidang ini. Kalau nak panggil saya berlakon memang sangat saya hargai,” katanya yang memegang watak Tuan.

Selain Along, teater terbitan CTRA Production yang sudah dipentaskan sebanyak sembilan kali itu turut membariskan Datuk Ziela Jalil (Cantik), Liza Abdullah (Anggun), Vanidah Imran (Beautiful), Deera Amin dan Zera Hariz (Nyonya). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI