fbpx

Jet Russia terhempas di kawasan perumahan, 6 maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Serpihan jet tentera Sukhoi Su-34 dirakam di halaman sebuah kawasan perumahan di Yeysk, barat daya Russia, semalam. – AFP

MOSCOW – Sebuah jet pejuang milik tentera Russia terhempas di sebuah kawasan perumahan di Yeysk, sebuah pekan di barat daya negara itu yang terletak berhampiran dengan sempadan Ukraine, menyebabkan kebakaran besar dan meragut nyawa sekurang-kurangnya enam orang, kata pihak berkuasa.

“Enam orang meninggal dunia, 19 cedera termasuk dua kanak-kanak,” kata seorang jurucakap Kementerian Situasi Kecemasan semalam.

Kebakaran bangunan kediaman sembilan tingkat itu telah berjaya dikawal dan hampir dipadamkan, kata Gabenor Wilayah, Veniamin Kondratyev ketika melawat lokasi kejadian, malam tadi.

Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Oksana berkata, kawasan tersebut telah dikepung.

“Mungkin berlakunya letupan. Semuanya terbakar di bahagian dalam (bangunan),” katanya.

Sementara itu, Presiden Vladimir Putin telah dimaklumkan mengenai nahas tersebut dan mengarahkan semua bantuan diberikan kepada mangsa insiden itu.

“Pada 17 Oktober 2022 (semalam), semasa berlepas untuk menjalani latihan penerbangan dari lapangan terbang tentera Daerah Tentera Selatan, sebuah pesawat Su-34 terhempas,” kata Kementerian Pertahanan Russia.

Tambah kenyataan yang sama, jet tentera itu gagal berfungsi selepas satu daripada enjinnya terbakar ketika berlepas.

“Di lokasi nahas pesawat Sukhoi Su-34 terhempas, di halaman sebuah kawasan perumahan, bahan api pesawat itu terbakar,” kata kementerian berkenaan.

Beberapa imej yang dikongsikan di media sosial menunjukkan blok kediaman era Soviet itu musnah dijilat api. 

Lima daripada sembilan tingkat bangunan tersebut terbakar, demikian menurut perkhidmatan kecemasan seperti dipetik agensi-agensi milik kerajaan Russia.

Kebakaran tersebut turut dilaporkan merebak ke kawasan sehingga 2,000 meter persegi.

Bandar Yeysk terletak di Teluk Taganrog di Laut Azov, bertentangan dengan Mariupol yang kini berada di bawah kawalan Russia. Ia menempatkan kira-kira 85,000 penduduk. – AFP  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI