SELEPAS mendirikan rumah tangga pada 20 November tahun lalu, penyanyi rap Yonnyboii mengakui semakin bahagia dalam menjalani hari-harinya sebagai lelaki beristeri.
Ketika ditemu bual Hib Glam sekitar dua bulan selepas menikahi isterinya, Nik Nazira Narriman, Yonny atau nama lengkapnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata, mahligai yang dibina bersama wanita pilihannya itu membuatkan dia semakin matang dalam memegang tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Perjalanan perkahwinan dengan Nazirah banyak mengubah Yonny menjadi seorang lelaki yang lebih baik dan bersikap timbang rasa terhadap isteri.

“Alhamdulillah setakat ini apa yang boleh dikatakan, saya banyak belajar untuk menjadi seorang suami yang lebih baik. Selepas berkahwin, saya kena lebih bertimbang rasa terhadap isteri.
“Apa sahaja yang saya lakukan, saya tidak boleh fikir tentang diri sendiri sahaja,” katanya.
‘Clingy’
Ke mana sahaja jika ada Yonny, pasti kelibat isteri tersayang juga tetap setia menemani suaminya bekerja.
Maka timbul cakap-cakap netizen mendakwa pasangan itu tidak boleh berenggang sehingga menuduh Yonny sebagai seorang lelaki ‘clingy’ atau manja dengan isterinya.
Enggan berkecil hati, penyanyi berusia 24 tahun itu lebih senang mengambil pendekatan tidak terlalu memikirkan hal tersebut kerana sedar setiap individu mempunyai pandangan mereka sendiri.
“Manja? Biarlah orang nak cakap apa pun. Setiap individu ada pandangan yang berbeza. Untuk saya sendiri, dalam apa jua keadaan, saya memang perlukan dia (isteri).
“Kalau tiada dia di sisi, saya jadi gementar untuk berhadapan dengan orang ramai. Saya sendiri memang mahu dia sentiasa di sisi. Isteri ialah sistem sokongan saya,” ujarnya.

Jelas penyanyi lagu Sakit itu lagi, disebabkan dia menghidap penyakit Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif, membuatkan dia mahu wanita itu setia berada di sampingnya.
“Seperti yang semua orang tahu, saya menghidap ADHD. Isteri sahaja yang faham keadaan ini walaupun dia baru mengetahui keadaan diri saya yang sebenar pada awal perkahwinan.
“Saya bersyukur dia faham keperluan saya. Dia juga akan menegur jika saya terlampau teruja.
“Isteri banyak ajar saya untuk jadi lebih tenang. Jadi jika ada isteri di sini, saya lebih senang untuk bekerja,” katanya.
Bahagia
Sementara itu, Yonny yang kini muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Kecewa menjelaskan, lagu tersebut tidak menterjemahkan perasaannya ketika ini.
Jelasnya, Kecewa melalui proses rakaman sejak dua tahun lalu yang berdasarkan kisah dan pengalaman rakan-rakan sehingga digubah menjadi lagu.

“Kecewa tidak ada kaitan dengan diri saya sekarang. Kini saya berada dalam fasa bahagia.
“Saya berada di tempat yang membahagiakan kerana perkahwinan membuka ‘alam’ yang baharu buat saya.
“Saya sangat selesa dan rasa lebih selamat bersama isteri,” katanya.
Tambah penyanyi dan komposer itu lagi, Kecewa diperam selama setahun sebelum dia akhirnya lagu berkenaan selamat dilancarkan pada 23 September lalu.
“Lagu ini adalah ciptaan sepenuhnya oleh saya dan siap dirakam dalam tempoh satu malam sahaja. Jujurnya, saya hanya mengambil waktu beberapa jam untuk menyiapkan demo lagu ini.
“Selepas setahun disimpan rapi, baru saya hantar demo lagu ini kepada syarikat rakaman iaitu Def Jam Recordings dan Universal Music untuk lakukan proses rakaman yang lebih baik sekali gus menyiapkan penggambaran video muzik,” jelasnya.

Memandangkan karya-karya Yonny sebelum ini terkenal dengan lirik yang begitu ‘deep’ dan berkait rapat dengan perihal hidup manusia, penyanyi itu mengakui dirinya sering menjadi tempat rakan-rakan bercerita tentang masalah mereka.
“Kata rakan-rakan, saya seorang pendengar yang baik. Saya juga baca kisah-kisah peminat yang meninggalkan komen dalam media sosial saya.
“Ketika rakamkan lagu ini, saya dapat rasakan kesedihan itu. Kecewa adalah satu cerita yang saya nak sampaikan kepada semua,” jelasnya.
Video muzik rasmi Kecewa sudah pun tersedia dalam YouTube Yonnyboii VIVO sejak 4 Oktober lalu.














