fbpx

Jenazah lintas khemah majlis perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sekumpulan penduduk dilihat bersama-sama membawa keranda jenazah yang diletakkan di atas kereta pengusung ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung. – TikTok @merpatiwedding

JAKARTA – Tetamu sebuah majlis perkahwinan di Mojokerto, wilayah Jawa Timur terkejut seketika apabila melihat sebuah kereta pengusung jenazah melalui khemah majlis itu  untuk menuju ke tanah perkuburan, lapor portal berita Wolipop kelmarin.

Berdasarkan video yang tular di TikTok, sekumpulan penduduk dilihat bersama-sama membawa keranda berisi jenazah yang diletakkan di atas kereta pengusung ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung.

Khemah majlis tersebut dikatakan merupakan satu-satunya akses jalan yang boleh dilalui untuk membawa jenazah ke kubur.

“Ada khabar duka daripada jiran. Jenazah terpaksa dibawa melalui khemah perkahwinan yang mempunyai ramai tetamu kerana ini adalah satu-satunya jalan menuju ke kubur,” demikian menurut keterangan video tersebut.

Video itu menjadi tular dengan netizen memberikan pelbagai pendapat.

“Lebih baik sewa dewan supaya tidak menghalang laluan kalau sudah tahu itu satu-satunya jalan (menuju ke kubur),” kata seorang netizen.

“Hikmahnya adalah boleh jadi jodoh kita bertemu pada hari kematian seseorang. Jadi, lebih baik perbaiki diri untuk menunggu ajal dan bukannya menanti jodoh yang belum pasti bila akan datang,” kata seorang pengguna lain.

Wolipop kemudian menghubungi jurusolek yang memuat naik video tersebut, Bunda Een bagi mendapatkan pengesahan mengenai kejadian itu.

Menurut wanita berkenaan, ketika acara berlangsung, pihak pengantin menerima permintaan daripada jiran tetangga yang memohon kebenaran membawa jenazah melalui khemah majlis.

“Kebetulan, akses terdekat untuk menuju ke kawasan perkuburan adalah dengan melalui khemah majlis perkahwinan. Ibu bapa pengantin telah mengizinkan permintaan tersebut,” katanya. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI